Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Kesihatan
35
0

Usah pandang remeh langkah jaga mata

Sep 25, 2023 | 06:00 AM



DR MOHAMAD ROSMAN

Pesakit saya kadang-kadang bertanya kepada saya apakah beberapa perkara yang boleh mereka amalkan untuk menjaga kesihatan mata.

Saya juga melihat pesakit yang mempunyai tabiat mata yang yang menyebabkan beberapa gangguan mata.

Berikut diketengahkan tiga amalan untuk menjaga mata dengan baik.

Gunakan cermin mata hitam apabila berada di luar rumah


Sinar ultralembayung (UV) dari matahari diketahui meningkatkan risiko katarak awal, menyebabkan pembentukan pterigium dan juga menyebabkan kemerosotan retina.

Pterigium merujuk kepada keadaan degeneratif apabila ketumbuhan konjunktiva mengunjur ke atas kornea. Ia bermula dari hujung mata sebelah hidung dan mengarah ke anak mata dan mungkin menutupinya.

Oleh itu, penggunaan cermin mata hitam dengan perlindungan UV ketika berada di luar adalah cara yang baik untuk mencegah kerosakan cahaya UV kepada mata.

Namun, tabiat ini harus dimulai sejak awal kerana kerosakan yang disebabkan oleh cahaya UV kepada mata berlaku secara beransur-ansur.

Saya mempunyai beberapa pesakit yang berumur 60-an yang bertanya kepada saya jika memakai cermin mata hitam dapat mencegah katarak.

Ya, memakai cermin mata hitam dapat memperlambat pembentukan katarak, tetapi hanya jika mereka telah memakai cermin mata hitam sejak muda.

Gunakan ubat titis mata secara kerap


Ubat titis mata boleh didapati dengan mudah di kaunter perubatan. Penggunaan secara kerap ubat titis mata ini adalah baik untuk mata kerana ia mengurangkan gejala mata kering.

Penggunaan ubat titis mata itu juga membantu untuk membilas kotoran dan alahan dari permukaan mata. Ini mengurangkan risiko alahan mata dan kemerahan.

Rehat mata secara berkala


Dalam dunia yang maju dengan teknologi, ramai orang menghabiskan masa berjam-jam menggunakan komputer atau peranti bimbit.

Bagaimanapun, penggunaan yang berpanjangan boleh menyebabkan ketegangan mata dan keletihan mata. Malah ia boleh menyebabkan sakit kepala dan penglihatan kabur bagi sesetengah orang.

Dalam kumpulan umur yang lebih muda, penggunaan berpanjangan boleh meningkatkan kadar rabun.

Oleh itu, tabiat mata yang baik adalah dengan merehatkan mata secara kerap dan berkala semasa menggunakan komputer dan peranti bimbit.

Disyorkan merehatkan mata selama lima hingga 10 minit bagi setiap 45 minit menggunakan komputer atau memakai peranti secara dekat dengan mata.

Lagi baik lagi jika anda melihat jarak jauh semasa merehatkan mata selama lima hingga 10 minit ini.

Berikut beberapa tabiat buruk yang harus dielak bagi melindungi dan menjaga mata.

Elak gosok mata secara kerap


Sesetengah orang mempunyai tabiat menggosok mata secara kerap terutama apabila mereka merasa mata mereka gatal.

Namun, menggosok mata seperti menekan bola mata ke satu arah boleh menyebabkan perubahan bentuk kornea secara beransur-ansur. Ia seterusnya boleh meningkatkan astigmatisme terutama bagi kanak-kanak.

Jika mata digosok secara tidak wajar, mata mungkin mengalami keadaan yang dikenali sebagai keratokonus iaitu bentuk kornea yang tidak normal.

Saya selalu menasihati pesakit saya supaya tidak menggosok mata mereka. Jika mereka merasa gatal, mereka boleh menggunakan ubat titis mata sebagai pelincir untuk melegakan rasa gatal.

Dalam kes di mana mata sangat gatal, ubat titis mata anti-histamina yang ditetapkan oleh pakar oftalmologi akan membantu mengatasi gejala itu.

Usah guna kanta sentuh terlalu lama


Ramai orang suka memakai kanta sentuh kerana pelbagai sebab. Bagaimanapun, kanta sentuh atau turut disebut kanta lekap adalah satu bentuk benda asing dalam mata.

Pemakaian kanta sentuh secara amnya adalah selamat jika kita mengamalkan kebersihan yang baik.

Masalah timbul jika anda memakai kanta lekap untuk tempoh masa yang lama.

Saya juga pernah melihat pesakit yang tidur dengan kanta lekap. Penggunaan kanta sentuh yang berpanjangan meningkatkan risiko mata kering dan alahan terhadap kanta sentuh.

Selain itu, risiko jangkitan mata yang berkaitan dengan lensa sentuh lebih tinggi dengan penggunaan lensa secara berpanjangan.

Oleh itu, adalah dinasihatkan untuk mengikuti saranan pengilang pengeluar mengenai penggunaan lensa sentuh.

Saya akan menasihati pembaca untuk mengehadkan penggunaan lensa sentuh sebanyak mungkin untuk mengurangkan risiko komplikasi mata yang berkaitan dengan kanta sentuh.

Tidak guna cermin mata dengan preskripsi yang tepat


Saya telah melihat ramai pesakit yang mengadu kepada saya tentang ketegangan mata, keletihan dan sakit kepala selepas menggunakan komputer atau membaca.

Selepas berbual dan memeriksa mereka, saya dapati ramai dalam kalangan mereka sama ada tidak memakai cermin mata, memakai cermin mata yang dijual siap sedia untuk dipakai, atau menggunakan cermin mata terlalu lama mencecah beberapa tahun.

Kesilapan refraktif kita mungkin berubah mengikut masa dan jika kita tidak memeriksa mata secara berkala, kita mungkin berakhir dengan memakai cermin mata dengan darjah kuasa yang salah.

Walaupun kita mungkin masih boleh melihat dengan cermin mata tersebut, namun penglihatan kita mungkin tidak ideal dan mata kita pula ‘berusaha’ secara paksa sehingga menyebabkan ketegangan untuk membolehkan kita melihat.

Ini mengakibatkan keletihan, ketegangan mata dan sakit kepala pada penghujung hari.

Cermin mata bacaan yang siap sedia boleh dipakai yang dibeli di kaunter pula mengandaikan kedua-dua mata kita mempunyai kuasa yang sama. Ia juga tidak membetulkan astigmatisme.

Kebanyakan orang mempunyai kesilapan refraktif yang sedikit berbeza di kedua-dua mata mereka dan mempunyai beberapa darjah astigmatisme.

Oleh itu, cermin mata siap sedia yang dijual di kaunter mungkin tidak sesuai untuk mereka ini.

Masalah lain adalah sesetengah pesakit menggunakan sepasang cermin mata bacaan yang sama untuk membaca dan menggunakan komputer.

Bagaimanapun, oleh kerana jarak untuk membaca dan komputer adalah berbeza, preskripsi untuk membaca dan penggunaan komputer juga berbeza.

Menggunakan cermin mata yang sama akan menyebabkan mata anda dalam keadaan tegang.

Saya sarankan agar kita memeriksa kesilapan refraktif kita sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun untuk memastikan kita memakai preskripsi cermin mata yang betul.

Sebaik-baiknya gunakan cermin mata dengan preskripsi yang sesuai bergantung kepada kegiatan yang dilakukan.

Saya harap para pembaca akan mengamalkan tabiat mata yang baik dan mengelakkan amalan buruk seperti yang saya nyatakan.

Dengan cara ini, kita dapat mengekalkan penglihatan mata dengan baik.

Penulis Pakar Perunding Kanan Oftalmologi, Klinik dan Pembedahan Mata Lanjutan, Pusat Perubatan Mt Elizabeth Orchard.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >