Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

12 lukisan dikaitkan kes 1MDB akan dipamer di Balai Seni Negara

Dec 24, 2025 | 4:32 PM
Sebahagian lukisan berkualiti tinggi dan mahal karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.
Sebahagian lukisan berkualiti tinggi dan mahal karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bakal dipamerkan di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Dua belas lukisan berkualiti tinggi dan mahal karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai sekitar AS$30 juta (RM140 juta / $44.25 juta) akan dipamerkan di Balai Seni Negara (BSN) untuk tatapan umum sejurus ia tiba di Malaysia.

Karya pelukis ternama dunia itu dipulangkan kepada Malaysia selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) mengesahkan ia ada kaitan dengan skandal dana 1MDB.

Siasatan mendapati lukisan ini, yang dibeli saksi kes 1MDB, Jasmine Loo, pada mulanya berada di bawah kawalan DOJ. Kini ia dijaga oleh syarikat lelongan terkemuka, Christie’s dan Sotheby’s Auction House Amerika.

Aset di bawah jagaan Sotheby’s kini dalam proses untuk dibawa pulang ke Malaysia, manakala aset yang berada Christie’s hanya boleh diserahkan melalui perintah mahkamah Amerika.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensi yang bertanggungjawab membawa balik lukisan milik Malaysia itu, merancang menyerahkannya kepada Balai Seni Negara yang lebih pakar dalam penjagaan karya bermutu tinggi.

Difahamkan, lukisan itu mungkin dipamerkan kepada orang ramai sebagai inspirasi penting dalam kejayaan operasi penguatkuasaan di Malaysia, sebelum tindakan seterusnya dilakukan, termasuk lelongan bagi mengembalikan semula dana kepada kerajaan.

BH difahamkan, setakat ini lapan lukisan akan dibawa pulang, manakala empat lagi masih menunggu proses perintah mahkamah.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan beberapa perancangan penting bakal dilakukan sejurus karya seni itu tiba di Malaysia, termasuk dipamerkan kepada orang ramai.

Beliau berkata ketika ini faktor logistik menjadi keutamaan untuk membawa pulang karya ternama itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Balai Seni Negara pernah menjadi tempat pameran antarabangsa seperti Opera Omnia, yang mempamerkan versi digital pelukis tersohor Leonardo da Vinci, termasuk lukisan Mona Lisa pada 2019; Rauschenberg Cultural Interchange (ROCI), pameran seni moden terbesar di Asia Tenggara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Encik Amerrudin Ahmad, berkata pihaknya sedia terbabit secara aktif untuk menjaga lukisan itu.

Katanya, Balai Seni Negara mempunyai kemudahan terbaik dunia untuk menyimpan, menjaga dan mempamerkan koleksi tersohor dunia.

“Balai Seni Negara bukan saja menjadi antara galeri pameran terbaik di Asia Tenggara, malah dari segi fasiliti juga mematuhi piawaian antarabangsa, khususnya dalam menekankan aspek konservasi pencegahan, iaitu langkah untuk mencegah sesuatu objek daripada rosak.

“Konservasi pencegahan ini juga membabitkan kawalan pencahayaan, kelembapan, keselamatan serta pengurusan dan dokumentasi data,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg