12 polis ditahan kes rompakan kripto RM200,000 milik warga China
12 polis ditahan kes rompakan kripto RM200,000 milik warga China
Antara ditangkap berpangkat penolong superintenden, inspektor berusia 24 hingga 47 tahun
KAJANG (Selangor): Seramai 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan membabitkan kerugian kira-kira RM200,000 ($64,745) dalam bentuk mata wang kripto daripada sekumpulan warga China.
Mereka yang ditahan masing-masing seorang berpangkat penolong superintenden, inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.
Semua daripada mereka diberkas dalam beberapa tangkapan bersepadu yang dijalankan pasukan khas dari ibu pejabat polis daerah dalam tempoh dua hari, menurut sumber, lapor laman web New Straits Times (NST).
Penahanan dibuat susulan laporan polis dibuat seorang juruukur pasaran warga China berusia 31 tahun yang mendakwa beliau dan tujuh rakannya dipaksa memindahkan mata wang kripto bagi mendapatkan pembebasan, selepas banglo yang disewa mereka di kawasan berpagar di Country Heights, Kajang, Selangor, diserbu polis.
Sumber berkata sepasukan pegawai daripada unit jenayah komersial daerah menyerbu banglo dua tingkat itu pada 11.10 malam, 5 Februari lalu, kerana mengesyaki penghuninya menjalankan operasi penipuan.
Katanya pegawai terbabit memaklumkan, mereka menjalankan operasi antipenipuan dikenali sebagai ‘Op Taring’ dan mengesyaki penghuni rumah itu terbabit kegiatan penipuan dalam talian yang dikaitkan dengan sindiket di Kemboja.
“Selepas memeriksa peranti elektronik dan pasport mereka, tiada bukti kegiatan jenayah ditemui.
“Tiada rekod juga menunjukkan pengadu dan rakannya pernah ke Kemboja,” kata sumber itu kepada NST.
Sumber berkata kumpulan itu memaklumkan kepada polis mereka ialah juruukur pasaran yang bekerja dengan sebuah syarikat berpangkalan di China, namun mangsa didakwa diugut akan ditahan dan dikenakan tindakan imigresen kecuali membayar RM400,000 kepada polis terbabit.
Katanya, disebabkan bimbang keselamatan diri terutama kerana terdapat tiga wanita dalam kumpulan itu, seorang daripada mangsa menghubungi majikannya di China.
“Selepas rundingan, suspek didakwa bersetuju menerima bayaran 50,000 USDT (mata wang kripto tether), yang dipindahkan ke alamat dompet kripto diberikan suspek.
“Bayaran dibuat pada awal pagi dan hanya selepas transaksi disahkan, barulah pegawai polis itu meninggalkan premis,” dakwa sumber.
Katanya, semua 12 suspek dipercayai berada di tempat kejadian ketika operasi di rumah itu dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.
“Suspek juga sudah ditahan reman bagi membantu siasatan, termasuk menjejak transaksi mata wang kripto berkenaan, sebelum mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan,” katanya.

