Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

1,238 anggota polis M’sia kena tindakan tatatertib sepanjang 2023

Mar 7, 2024 | 1:23 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

Seramai 1,238 anggota polis di Malaysia telah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata daripada jumlah itu, 1,112 adalah daripada kumpulan pegawai rendah polis, manakala 126 orang adalah daripada kumpulan pegawai kanan.

“Terdapat lima kategori kesalahan yang direkodkan iaitu kesalahan jenayah, rasuah, jenayah syariah, kesalahan berkaitan dadah dan kes integriti.

“Kesalahan berkaitan integriti ini adalah kesalahan salah laku seperti ingkar perintah, menipu pegawai atasan, tidak hadir bertugas dan lain-lain,” katanya dalam jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia pada 6 Mac.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah-PN) mengenai jumlah pegawai dan anggota polis yang dikenakan tata tertib termasuk dibuang kerja dan jenis kesalahan mereka.

Sementara itu dalam satu soalan berasingan, Datuk Saifuddin berkata Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau aduan dan salah laku anggota pasukan polis.

Bagi kes salah laku anggota PDRM di Sarawak, sejumlah 364 aduan telah diterima dari 2018 hingga 2023.

“Pecahan kesalahan adalah mengikut tiga kategori iaitu kesalahan integriti, tadbir urus dan rasuah.

“Bagi 2018, sejumlah 53 kes salah laku telah direkodkan bagi semua daerah di Sarawak diikuti 69 kes pada 2019, 32 kes (2020), 55 kes (2021), 78 kes (2022) dan 77 kes bagi 2023,” katanya.

Berkait soalan mengenai usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan gaji permulaan anggota polis yang berpangkat Konstabel dari RM1,441 ($409) susulan pengakuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, bahawa gaji rendah adalah antara faktor mereka terlibat dalam rasuah, Datuk Saifuddin berkata kerajaan sedang melaksanakan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menambah baik sistem saraan sedia ada.

“Kajian secara komprehensif ini merangkumi semua penjawat awam, termasuk anggota polis demi tujuan untuk menjaga kebajikan anggota polis,” katanya.

Beliau berkata gaji pokok yang diterima oleh seorang anggota polis bukan satu jumlah yang statik kerana mereka turut menerima Pergerakan Gaji Tahunan apabila genap setiap tahun perkhidmatan, tertakluk kepada prestasi pegawai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg