Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

13 bukit jadi pusat berlindung di Kelantan jika banjir besar berulang

MetMalaysia keluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Terengganu, Pahang
Nov 26, 2024 | 5:35 PM
Keadaan sawah padi di Kampung Luar dan Kampung Tersang, dekat Rantau Panjang, Kelantan, yang ditenggelami banjir, menyebabkan 39 pengusaha kerugian RM1 juta.
Keadaan sawah padi di Kampung Luar dan Kampung Tersang, dekat Rantau Panjang, Kelantan, yang ditenggelami banjir, menyebabkan 39 pengusaha kerugian RM1 juta. - Foto NSTP

Mengambil iktibar kejadian banjir terburuk di Kelantan pada Disember 2014 terutama di daerah Gua Musang, sebanyak 13 bukit dikenal pasti untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai tempat perlindungan mangsa, sekiranya bah besar berulang.

Kejadian banjir besar yang berlaku 10 tahun lalu itu menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bukit dan terputus bekalan makanan, selepas PPS dan kediaman mereka ditenggelami banjir yang naik mendadak.

Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Gua Musang, Encik Nik Raisnan Daud, berkata dengan ramalan pihak berkuasa bahawa negeri Pantai Timur mungkin dilanda banjir besar seperti yang pernah berlaku pada 2014, pihaknya membuat persediaan dengan mengenal pasti 13 bukit yang boleh dijadikan tempat berlindung.

“Kita ambil pendekatan awal mengenal pasti 13 bukit ini sebagai kesiapsiagaan supaya penduduk di Gua Musang tidak berdepan kesukaran yang sama seperti 10 tahun lalu, sekiranya berlaku banjir luar jangka.

“Kita berharap penduduk sudah mula mengambi langkah berjaga-jaga termasuklah memastikan keselamatan dan menyimpan barangan berharga terutama dokumen penting sekiranya banjir besar berlaku,” katanya.

Ketika banjir terburuk pada Disember 2014 itu, stesen cuaca di Gua Musang merekodkan taburan jumlah hujan paling tinggi iaitu sebanyak 1,726 milimeter (mm). Jumlah hujan di Gua Musang dalam tempoh itu telah melebihi separuh jumlah hujan setahun negeri Kelantan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 26 November mengeluarkan amaran hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya di Terengganu dan Pahang yang dijangka berlarutan sehingga 29 November dan berisiko menyebabkan banjir.

MetMalaysia dalam satu kenyataan menyatakan daerah yang dijangka terjejas di Terengganu ialah Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang membabitkan daerah Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Amaran hujan berterusan tahap buruk pula dikeluarkan bagi beberapa daerah di Johor, Perlis, Kedah, Sabah dan Pahang.

Sementara itu, hujan lebat berterusan pada 26 November telah menyebabkan beberapa sungai utama di Sarawak melepasi paras bahaya, manakala beberapa sungai di Kelantan dan Terengganu melepasi paras amaran.

Menurut portal publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai melepasi paras bahaya dan dua lagi melepasi paras amaran membabitkan daerah Sibu di Sarawak.

Di Kelantan, Sungai Golok di daerah Pasir Mas melepasi paras amaran, sementara empat lagi sungai di daerah Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Jeli melepasi paras waspada.

Di Terengganu, sungai di Besut mencatatkan paras amaran manakala beberapa sungai di daerah Setiu, Kemaman, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu melepasi paras waspada.

Hujan lebat dan banjir yang mula melanda Kelantan sejak 22 November lalu turut mengakibatkan 39 pesawah dari Kampung Luar dan Kampung Tersang di Rantau Panjang, mengalami kerugian hampir RM1juta ($301,813) selepas sawah padi seluas 121 hektar ditenggelami air banjir.

Ketua Unit Pertubuhan Peladang Kawasan Kampung Luar dan Kampung Tersang, Encik Azli Jaafar, 56 tahun, berkata keseluruhan padi berkenaan sudah masak dan sepatutnya dalam fasa penuaian, namun mereka hanya mampu berputih mata apabila hampir keseluruhan padi ditenggelami air.

Menurut Encik Azli, padi biasanya akan rosak selepas ditenggelami air selama tiga atau empat hari, sekali gus mensia-siakan usaha pesawah yang sudah menyemai benih sejak empat bulan lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg