Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Johor diramal banjir mulai 26 Nov

Amaran awal dikeluar bagi JB, Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Pontian
Nov 25, 2024 | 5:32 PM
Penduduk di Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sarawak diingatkan agar sentiasa peka dan berwaspada berikutan ramalan banjir dan fenomena air pasang besar akan berlaku di negeri itu mulai 26 November.
Penduduk di Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sarawak diingatkan agar sentiasa peka dan berwaspada berikutan ramalan banjir dan fenomena air pasang besar akan berlaku di negeri itu mulai 26 November. - Foto fail KOSMO!

Sebanyak 10 daerah di Johor diramal mengalami banjir dari 26 hingga 29 November, susulan hujan yang dijangka berterusan.

Amaran ramalan awal banjir itu dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ia menyenaraikan Johor Bahru, Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Pontian sebagai daerah yang boleh terjejas oleh banjir.

Menerusi satu hantaran di Facebook, JPS menasihatkan penduduk di kawasan berkenaan supaya sentiasa bersiap sedia dan waspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa, termasuk tindakan berpindah sekiranya keadaan banjir memburuk.

“JPS akan membuat pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan sungai terbabit.

“Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari tarikh yang dijangka. Semua agensi serta penduduk, terutama di kawasan yang dijangka banjir, diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, beberapa kawasan di daerah Johor Bahru membabitkan Lembangan Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Tebrau dijangka terkesan oleh bencana itu.

Selain itu, daerah Pontian mencatatkan jumlah kawasan dijangka paling banyak dilanda banjir, merangkumi Lembangan Sungai Pulai, Sungai Pontian Besar, Benut, Sanglang, Penerok, Pontian Kecil dan Ayer Baloi.

Di Kota Tinggi, antara kawasan dijangka mengalami banjir ialah sekitar Lembangan Sungai Johor, Sungai Sedili Besar, Rengit dan Sepang, manakala di Muar melibatkan kawasan Sungai Muar dan Sarang Buaya.

“Di Tangkak turut melibatkan Sungai Muar dan Sungai Kesang, sementara Lembangan Sungai Batu Pahat di Batu Pahat diramal turut banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, JPS menasihatkan penduduk Lembangan Sungai Muar di Segamat; Lembangan Sungai Endau, Benut dan Sungai Johor di Kluang; serta Lembangan Sungai Mersing dan Tenglu Besar di Mersing supaya berhati-hati dan peka akan situasi bencana semasa.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut bersiap siaga dengan sembarang kemungkinan bencana, terutama dalam memastikan persediaan sekolah dan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang akan berjalan dari 2 Disember hingga 6 Februari, berjalan lancar.

KPM sudah bersedia sepenuhnya dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan, bagi memastikan bencana banjir tidak memudaratkan calon SPM.

“Calon dinasihatkan supaya memaklumkan kepada sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang sudah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana,” katanya.

Seramai 402,956 calon akan mula menduduki peperiksaan SPM di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menempatkan aset helikopter di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, di Marang, Terengganu, sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir lebih besar di negeri Pantai Timur.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad, berkata selain Johor, pihaknya juga memberi tumpuan kepada Pantai Timur, iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang, berikutan ramalan fenomena air pasang besar pada 27 dan 29 November serta 15 hingga 17 Disember.

“Kami bimbang akan berlaku hujan lebat di kawasan yang sudah tepu air dan longkang penuh (berikutan banjir gelombang pertama bermula 19 November lalu). Paras banjir di kawasan tepu air berisiko naik mendadak ekoran episod hujan lebat kedua berserta ramalan fenomena air pasang besar berkenaan.

“Cuti hampir 6,000 anggota bomba di lima negeri berisiko iaitu Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak akan dibekukan serta-merta sebaik berlaku banjir luar jangka.

“Kemudahan helikopter akan memudahkan anggota bomba bergerak ke kawasan bencana dengan lebih cepat sekiranya berlakunya banjir luar jangka,” katanya.

Setakat ini, situasi banjir di Terengganu, Johor dan Kelantan menunjukkan 171 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg