KUALA LUMPUR: Kejayaan Lembaga Tabung Haji (TH) mengelola dan mengurus jemaah haji dari Malaysia bukan saja mendapat pujian kerajaan Arab Saudi, malah dijadikan contoh terbaik bagi negara jiran seperti Thailand, yang menyifatkan TH sebagai lambang kejayaan umat Islam.
Walaupun sudah berada di tahap selesa dalam pengurusan jemaah haji, TH masih giat berusaha untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap khemah jemaah haji Malaysia di Arafah dan Mina di Makkah, bagi memastikan keselesaan jemaah untuk beribadah bermula pada hari wukuf nanti.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata antara penambahbaikan yang dilakukan TH dengan kerjasama Mashariq Holdings, selaku penyelia kemudahan dan perkhidmatan asas haji itu, membabitkan penambahan jumlah bilik air dan tangki air di Arafah bagi memastikan bekalan air tidak terputus.
Persiapan khemah jemaah haji Malaysia di padang Arafah dan Mina kini memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi untuk menerima 31,600 jemaah semasa Operasi Masyair.
Menurutnya di Mina pula menyaksikan banyak penambahbaikan baru berbanding tahun lalu termasuk dinding khemah dipasang dengan papan gipsum (bahan seperti kapur) yang lebih kukuh, selamat dan selesa kepada jemaah.
“Kita juga telah tambah penghawa dingin baru, yang mana pemasangan ini hanya melibatkan jemaah haji Malaysia. Selain itu terdapat juga pintu untuk memastikan suhu dalam khemah kekal.
“Satu lagi penambahbaikan adalah pemasangan permaidani wall to wall (dinding ke dinding) dan tidak lagi sekeping sekeping serta lebih tebal untuk beri keselesaan kepada jemaah haji sepanjang berada di sini,” katanya, lapor Sinar Harian dari Makkah.
Datuk Syed Salleh berkata kemudahan khemah yang digunakan jemaah haji Malaysia berbeza dengan khemah negara lain termasuk dari segi bentuk, bahan digunakan dan kemudahan yang disediakan.
“Ini termasuk penghawa dingin lebih kuat dan jumlah lebih banyak berbanding negara lain selain kemudahan bilik air di Arafah dan Mina,” katanya.
Menurutnya, disebabkan Malaysia merupakan negara pertama yang telah selesai segala perjanjian di Masyair (kemuncak ibadah haji), TH diberi kelebihan untuk memilih mana-mana tapak yang bersesuaian.
Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Thailand yang juga Ketua Majlis Agama Yala, Encik Abdul Baziz Chema, berkata Malaysia disifatkan sebagai ‘abang’ khususnya dalam kalangan umat Islam di selatan Thailand kerana mempunyai banyak pengalaman dalam mengendalikan jemaah haji yang harus dicontohi negara itu.
“TH adalah kejayaan umat Islam di Malaysia dan menjadi kewajipan kepada kami untuk mempelajarinya. Saya sangat yakin dengan menimba pengetahuan daripada TH, insya-Allah kita akan dapat menandingi perkara berkaitan pengurusan jemaah haji suatu hari nanti,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg