Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Titah adendum sah: Umno mohon ihsan Agong benar Najib jalani hukuman tahanan rumah

Jul 11, 2025 | 3:23 PM
Bekas Perdana Menteri keenam Malaysia, Encik Najib Tun Razak.
Bekas Perdana Menteri keenam Malaysia, Encik Najib Tun Razak. - Foto BERNAMA

Umno memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, agar membenarkan bekas presidennya yang dipenjarakan, Encik Najib Tun Razak, menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, menyusuli pengesahan kewujudan titah adendum oleh Jabatan Peguam Malaysia (AGC) pada 9 Julai.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pengesahan kewujudan titah adendum atau perintah tambahan itu sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah Encik Najib pada akhir Januari 2024.

“Umno mengucapkan syukur kepada Allah swt dengan pengesahan kewujudan titah adendum oleh Peguam Negara.

“Umno memohon ampun dan ihsan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Agong berpandukan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada 11 Julai.

Datuk Dr Asyraf berkata parti itu menyatakan harapan agar Encik Najib diberi peluang menjalani hukuman tahanan rumah, setelah lebih setahun isu pelaksanaan titah tersebut menjadi pertikaian dan tertangguh.

“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya.

Pada 9 Julai, media Malaysia melaporkan AGC tidak mempertikaikan kewujudan titah adendum dikatakan oleh Agong ke-16, Sultan Abdullah (kini mantan), yang membolehkan Encik Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baru dalam permohonan semakan kehakiman Encik Najib di Mahkamah Tinggi.

Encik Najib, mantan Perdana Menteri Malaysia keenam kini menjalani hukuman di Penjara Kajang, Selangor, sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana RM42 juta ($12.6 juta) milik SRC International. 

Bagaimanapun, Encik Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya dan pengurangan denda yang perlu dibayar daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pengurangan hukuman itu diputuskan Lembaga Pengampunan dipengerusikan Agong Ke-16, Sultan Abdullah pada akhir Januari 2024, sekali gus menyaksikan hukuman penjara mantan Perdana Menteri Keenam Malaysia itu berkurangan kepada enam tahun dan bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Menyusuli pengurangan hukuman atau lega hukum yang diumumkan pada 2 Februari 2024 itu, Encik Najib mendakwa wujud titah adendum yang dititahkan oleh Agong-16 untuk beliau menghabiskan baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg