GUA MUSANG (Kelantan): Seorang wanita dilaporkan dalam keadaan tenat selepas dihempap kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, Kelantan.
Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi, 9 Julai itu, sebuah lori membawa muatan kayu balak dikatakan terbalik ketika melalui persimpangan lampu isyarat.
Ia menyebabkan Cik Siti Norelyana Kamaruzan, 21 tahun, yang menunggang motosikal tercampak dan dihempap salah satu kayu balak yang jatuh.
Difahamkan ketika kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai jurujual sedang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang, manakala lori balak berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lipis, Pahang.
Tunang mangsa, Encik Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22 tahun, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang rakan yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, beliau bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM) dan mangsa dilaporkan dalam keadaan tidak stabil.
“Saya sempat melihat keadaan tunang saya yang menerima rawatan di Unit Kecemasan dan doktor memaklumkan beliau tidak stabil.
“Sehingga kini saya masih terkejut dengan kejadian ini. Saya mengharapkan doa daripada orang ramai supaya tunang saya selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo, mengesahkan kejadian yang berlaku.
Terdahulu, tular satu video sepanjang 2.33 minit memaparkan seorang wanita yang menunggang motosikal berhenti di lampu isyarat, sebelum lori muatan balak terbalik dan menghempap motosikal mangsa sehingga menyebabkan mangsa tersepit di antara sebuah trak pikap dengan kayu balak.
Pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian itu kemudian membantu mengalihkan trak pikap berkenaan sebelum mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg