KUANTAN (Pahang): Sebuah pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbabit dalam satu kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan, di Pahang, pada 21 Ogos malam.
Bagaimanapun dua juruterbang yang terlibat dalam kejadian itu selamat dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, bagi pemeriksaan lanjut.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi satu kenyataan media memaklumkan nahas itu berlaku pada 9.05 malam membabitkan pesawat F/A-18D Hornet.
Menurut kenyataan itu, kemalangan berlaku di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan.
“TUDM sedang mengambil tindakan segera dan akan memaklumkan perkembangan semasa mengenai insiden itu,” menurut kenyataan itu pada 21 Ogos, lapor Berita Harian Malaysia.
Terdahulu di media sosial, tular rakaman letupan dan disusuli percikan api pesawat terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan kededua juruterbang yang terbabit dalam kemalangan pesawat di Pangkalan Udara Kuantan itu selamat.
Menurut Datuk Yahaya berdasarkan maklumat kemalangan berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet itu hendak melakukan penerbangan.
Sementara itu, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata satu lembaga penyiasat turut ditubuhkan bagi mengendalikan siasatan, terutama untuk mengenal pasti punca kejadian itu.
Berikutan itu katanya, TUDM menggantung sementara operasi penerbangan pesawat F/A-18D miliknya menyusuli kemalangan membabitkan pesawat model itu di Pangkalan Udara Kuantan.
Lembaga penyiasat itu katanya akan dianggotai pegawai kanan TUDM dengan pihak berkenaan sudah pun memulakan siasatan pada 22 Ogos.
Beliau turut memaklumkan juruterbang berpangkat Mejar berusia 34 tahun dan jurusensor senjata pesawat berpangkat Kapten berusia 28 tahun, sempat melompat keluar daripada pesawat sebelum jet pejuang itu meletup dan terhempas.
Katanya, kedua-dua pegawai TUDM terbabit terselamat dan sudah dibenarkan keluar dari HTAA, pada 2 pagi, 22 Ogos.
Dalam perkembangan berkaitan, penduduk di kawasan berhampiran tempat kejadian mendakwa bunyi letupan kedengaran amat kuat ketika pesawat pejuang TUDM itu terhempas di Pangkalan Udara Kuantan.
Penduduk Taman Pandan Perdana, Encik Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26 tahun, berkata pada peringkat awal beliau tidak menyangka bunyi itu adalah disebabkan oleh pesawat meletup ketika hendak melakukan penerbangan.
“Kawasan perumahan saya paling hampir dengan (LTSAS) dan kami sudah biasa mendengar bunyi letupan.
“Tetapi, letupan ketika kejadian kali ini terlalu kuat berbanding bunyi yang selalu didengar sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata penduduk taman perumahan itu juga sudah biasa mendengar bunyi letupan, termasuk pada waktu malam kerana anggota TUDM melakukan latihan.
Bagaimanapun, katanya disebabkan bunyi letupan ketika kejadian agak luar biasa, ramai penduduk bergegas ke lapangan terbang berkenaan untuk mengetahui kejadian sebenar.
Seorang lagi saksi, Encik Mazlan Abdullah, 61 tahun, yang ketika itu berada di kedai makan berhadapan Pangkalan Udara itu, berkata beliau mendengar dua kali letupan dan turut melihat cahaya api dari kawasan berkenaan.
“Selepas bunyi letupan, saya dapat lihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.
“Ketika saya melihat ke lapangan terbang, api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan berbau hangit,” kata pekerja kontrak berkenaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg