Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 nahas jalan raya di M’sia korbankan mangsa bergelar ibu dan anak

Apr 23, 2024 | 2:20 PM
Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna, Mitsubishi Xpander dan lori di Dungun, Terengganu, menyebabkan seorang anak maut, manakala ibu bapanya cedera pada 22 April petang.
Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna, Mitsubishi Xpander dan lori di Dungun, Terengganu, menyebabkan seorang anak maut, manakala ibu bapanya cedera pada 22 April petang. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Satu nahas jalan raya di Dungun, Terengganu, telah menyebabkan seorang anak terkorban, manakala ibu dan bapanya cedera, sementara di Papar, Sabah, pula seorang ibu terkorban, manakala anaknya pula cedera dalam kemalangan pada 22 April.

Di Dungun, Encik Abdul Rahman Abdul Rahim, 22 tahun, yang juga bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, maut selepas kereta dipandu ibunya terbabit kemalangan di Kilometer 376.2 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan, dekat Bukit Besi.

Dalam kejadian 2.03 petang itu, Allahyarham Abdul Rahman dari Taman Kurnia Jaya di Kuantan, Pahang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala dan dada. Ibu dan bapa mangsa cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata tiga beranak itu tersepit di tempat duduk dan dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hulu Terengganu.

“Siasatan mendapati kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander dipandu ibu mangsa terbabas ke kiri jalan, sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori yang sedang bergerak perlahan di hadapan.

“Ketika itu, lori terbabit sedang melakukan pemeriksaan pagar dawai di kawasan lebuh raya yang rosak untuk dibaiki,” katanya menambah bahawa mayat mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala ibu dan bapanya diberi rawatan sebagai pesakit luar, lapor Harian Metro.

Di Papar, seorang ibu berusia 64 tahun terkorban selepas selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaikinya bersama seorang anak perempuan terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Pan Borneo, Kilometer 16 Jalan Papar Baru-Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka, berkata dalam kejadian 3.41 petang itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah, manakala anak perempuannya berusia 43 tahun, yang memandu 4WD jenis Hyundai parah.

“Siasatan mendapati Toyota Hilux dipandu lelaki tempatan berusia 36 tahun dari arah Kota Kinabalu menuju Papar melalui Jalan Pan Borneo terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan Hyundai di laluan berkenaan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg