Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 pelajar nyaris jadi mangsa culik ‘van putih’ di Perak

Oct 24, 2024 | 1:39 PM
Tangkap layar mesej di aplikasi WhatsApp yang tular di media sosial berkaitan kejadian culik oleh van bernombor pendaftaran Thailand di Kampung Padang, Gerik, Perak.
Tangkap layar mesej di aplikasi WhatsApp yang tular di media sosial berkaitan kejadian culik oleh van bernombor pendaftaran Thailand di Kampung Padang, Gerik, Perak. - Foto tangkap layar KOSMO!

GERIK (Perak): Dua pelajar perempuan Tingkatan 2 nyaris diculik penjenayah yang menaiki van putih dan kelabu menggunakan nombor pendaftaran Thailand, dalam dua kejadian berasingan di Kampung Padang, Gerik, Perak, pada 21 dan 22 Oktober.

Timbalan Ketua Polis Perak, Penolong Pesuruhjaya Zulkafli Sariaat, berkata kejadian pertama berlaku pada 6.45 pagi ketika mangsa sedang mengayuh basikal ke sekolah.

Menurut beliau, secara tiba-tiba sebuah van kelabu berhenti di depan mangsa, manakala satu lagi berwarna putih menghimpit di tepi sebelah kanan. Kededuanya menggunakan nombor pendaftaran negara jiran itu.

“Suspek mengekori mangsa sehingga di depan tanah perkuburan kampung. Seorang wanita yang mengenali mangsa kemudian bertindak memanggil remaja tersebut menyebabkan suspek melarikan diri.

“Kejadian kedua pula berlaku pada 3.20 petang ketika mangsa berusia 14 tahun berjalan kaki hendak pulang ke rumah dari sekolah sebelum dihimpit van putih dinaiki dua lelaki memakai pelitup muka,” katanya, lapor Kosmo!

Menurut Encik Zulkafli, suspek telah menarik beg sekolah dan diseret hingga terjatuh ke kawasan tanah perkuburan di Kampung Padang.

Tambahnya, mangsa diselamatkan abangnya yang tiba di lokasi lalu menendang salah seorang suspek hingga menyebabkan mereka lari.

Polis sedang giat mengesan suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular mesej di media sosial dipercayai daripada kumpulan sembang aplikasi WhatsApp berkaitan kejadian culik oleh individu yang menaiki van dengan nombor pendaftaran Thailand.

Dengan itu, Encik Zulkafli berkata polis sedang menyiasat dan mempergiatkan rondaan pencegahan jenayah di sekitar Kampung Padang, susulan laporan berkaitan dua kejadian cubaan menculik dua remaja perempuan berusia 14 tahun itu.

Sementara itu, dalam laporan berasingan, polis menahan 13 individu termasuk seorang anggota keluarga kepada ahli perniagaan yang mendakwa diculik sekumpulan individu pada 13 Oktober.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, pada 23 Oktober berkata pihaknya menahan semua individu berusia 23 hingga 58 tahun berkenaan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Johor bermula 9 malam 22 Oktober hingga pagi 23 Oktober.

Pada 13 Oktober, Datuk Kumar mengesahkan pihaknya menerima satu laporan kejadian seorang lelaki warga tempatan dilarikan beberapa individu pada 7.20 malam.

Mangsa mendakwa dilarikan menggunakan sebuah kereta dan kejadian itu dilaporkan sebaik mangsa dilepaskan pada hari yang sama selepas keluarganya membayar sejumlah wang tebusan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg