Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak perempuan nyaris diculik ketika tunggu van sekolah di Selangor

Sep 16, 2024 | 11:47 AM
Kanak-kanak perempuan nyaris diculik ketika tunggu van sekolah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Selangor.
Kanak-kanak perempuan nyaris diculik ketika tunggu van sekolah di Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Selangor. - Foto hiasan HARIAN METRO

HULU SELANGOR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menempuh detik cemas selepas hampir menjadi mangsa culik di Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang menunggu van sekolah di bawah blok rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Timbalan Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada 8.56 malam, 13 September.

Beliau berkata wanita itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang juga warga tempatan dipercayai bertindak cuba melarikan mangsa, namun gagal.

“Mangsa berjaya melarikan diri ke kedai berhampiran serta menjerit meminta tolong. Saksi awam yang berada di lokasi kejadian kemudian menyelamatkan kanak-kanak itu,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

Encik Mohd Asri berkata suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri apabila orang awam cuba menahannya.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

“Ibu bapa dinasihatkan supaya lebih peka dan tidak meninggalkan anak sendirian semasa di luar rumah kerana ia mengundang peluang dan ruang kepada penjenayah melakukan perbuatan mereka,” katanya.

Terdahulu dalam satu kes berasingan, pada 13 September, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Wan Azlan Wan Mamat, dilaporkan berkata seorang kanak-kanak disangka mangsa cubaan culik di kawasan sebuah masjid di Subang Jaya, Selangor.

Namun beliau berkata siasatan sebaliknya mendapati kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun itu yang dipegang bahu oleh suspek mungkin menjadi mangsa gangguan seksual.

“Lelaki itu menanyakan nama dan alamat rumah mangsa sehingga menyebabkan mangsa melarikan diri ke kawasan sekolah berdekatan.

“Mangsa telah memberitahu kejadian tersebut kepada pengadu iaitu seorang perempuan tempatan dan pengadu telah terima satu video dan gambar daripada ibu kenalan mangsa yang menunjukkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kejadian,” menurutnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg