Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

20 ahli sindiket jenayah terancang di Kedah, Pulau Pinang didakwa

Dec 30, 2025 | 5:45 PM
Geng Rames, kedah, pulau pinang, gang
Sebahagian daripada 20 individu didakwa menjadi ahli Geng Rames dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Sungai Petani, Kedah, pada 30 Disember. - Foto NSTP

SUNGAI PETANI (Kedah): Seramai 20 individu didakwa menjadi ahli Geng Rames yang disyaki aktif dalam sindiket jenayah terancang di Kedah dan Pulau Pinang sejak 2024, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah, pada 30 Disember.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan ke atas semua lelaki berusia antara 24 dengan 42 tahun itu dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Tertuduh ialah G Magen; S Tanesh; R Shargunan; S Kanesram; V Mathavan; J Thanes; V Yanasegar; Paramasivan; G Yuvaraj; M Ponggiswaran; P Puganeswaran; S Nagarajan; R Gobinath; R Kumaresan; R Puvaneswaran; P Kathiresan; K Kesavan; S Delhipraj; V Navin Kumar dan T Vivegananth.

Mengikut tuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di alamat Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda, Kedah, antara Januari 2024 dengan 4 Disember 2025.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mahkamah kemudian membenarkan anggota keluarga yang hadir untuk menemui tertuduh dalam pemantauan ketat pihak polis.

Hakim turut menetapkan 29 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan ikat jamin bagi semua tertuduh.

Pada sidang media 29 Disember, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata polis berjaya melumpuhkan kumpulan jenayah terancang Geng Rames yang disifatkan ganas dan agresif, serta disyaki aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam operasi JSJ Bukit Aman, JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Cawangan Khas Bukit Aman itu, polis menahan sejumlah suspek lelaki berusia antara 24 dengan 42 tahun dari 27 November hingga 4 Disember.

Kumpulan itu dipercayai dianggotai 35 ahli yang dipimpin seorang lelaki tempatan dikenali sebagai Rames, dan aktif di Sungai Petani, Kulim, serta beberapa lokasi di Pulau Pinang.

Kumpulan yang sebelum ini dikenali sebagai Geng 35 dan kemudian Geng Rusa Boy dan kini dikenali sebagai Geng Rames, dikesan aktif melakukan jenayah kekerasan termasuk rompakan, mencederakan mangsa hingga parah, kes bunuh, pengedaran dadah dan meminta wang perlindungan, khususnya di beberapa kawasan di Kedah dan Pulau Pinang.

Beliau berkata kumpulan berkenaan mempunyai struktur organisasi tersusun dengan pembahagian peranan termasuk kumpulan penyerang, kutipan kewangan serta pengedaran dadah, selain menggunakan kekerasan bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg