21 Orang Asli disyaki ceroboh tanah Sultan Pahang ditahan
21 Orang Asli disyaki ceroboh tanah Sultan Pahang ditahan
KUANTAN (Pahang): Polis menahan 21 Orang Asli kerana disyaki menceroboh tanah milik Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ahmad Shah, di Rompin, Pahang, pada 9 Februari.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata penahanan itu termasuk 17 wanita berusia antara 26 tahun hingga 60 tahun.
Beliau berkata berdasarkan laporan, pihaknya menerima satu laporan polis daripada Balai Polis Kuala Rompin berkenaan pencerobohan tanah milik Sultan Pahang.
“Pengadu adalah wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan tanah milik Sultan Abdullah.
“Laporan berkaitan sekumpulan Orang Asli didakwa menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong buah kelapa sawit di kawasan ladang milik Sultan Abdullah seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran.
“Bagi membantu siasatan, seramai empat lelaki dan 17 wanita Orang Asli ditahan di dalam kawasan ladang milik Sultan Abdullah itu kerana disyaki terbabit menceroboh tanah,” katanya dalam satu kenyataan pada 10 Februari, lapor Harian Metro.
Encik Sharif Shai berkata kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 ($967.28) atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Dalam kes ini, polis tidak akan berkompromi dengan aktiviti pencerobohan tanah. Mana-mana pihak perlu mempunyai geran pemilikan yang sah untuk mengusahakan tanah.
“Pihak polis menasihati masyarakat supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negara ini,” katanya.
Sebelum ini pada 23 Disember 2025, polis menahan 12 lelaki Orang Asli kerana menceroboh ladang sawit milik sebuah syarikat di Kampung Taman, Rompin.
Encik Sharif Shai berkata mereka yang berusia antara 20 hingga 44 tahun ditahan selepas polis menerima laporan dibuat seorang pekerja syarikat perladangan mengenai kehadiran sekumpulan lelaki Orang Asli di ladang berkeluasan 101 hektar itu pada 9 pagi.
Pada 15 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang, memerintahkan Orang Asli di kampung itu mengosongkan kawasan ladang terbabit dan memberi hak milik kepada syarikat berkenaan.

