Walaupun berbeza cara pengambilan dan penggunaannya, rokok dan dadah berkongsi kesan buruk jangka panjang yang sama.
Kededuanya membentuk ketagihan yang merosakkan bukan saja daripada sudut kesihatan, bahkan kesan ekonomi, serta kesejahteraan keluarga dan masyarakat.
Di Malaysia, Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Encik Muhammad Sha’ani Abdullah, berkata dianggarkan sekitar 27,000 kematian direkodkan setiap tahun akibat pendedahan kepada asap rokok, termasuk dalam kalangan bukan perokok seperti anggota keluarga dan kanak-kanak.
“Angka itu bersamaan kira-kira 75 kematian sehari – empat kali ganda lebih tinggi berbanding kemalangan jalan raya yang mencatat purata 20 kematian sehari.
“Namun, kita percaya jumlahnya lebih tinggi kerana banyak kematian akibat kesan pendedahan kepada asap rokok tidak disedari dan tidak dilaporkan seperti kes kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui Berita Harian pada sidang media sempena Hari Anti-Dadah Sedunia menyusur sambutan Hari Tanpa Tembakau, di Kuala Lumpur.
Data rasmi kerajaan Malaysia menunjukkan 192,857 kes penyalahgunaan dan penagihan dadah direkodkan di Malaysia pada 2024, dengan 61 peratus daripadanya melibatkan individu berusia antara 15 dengan 39 tahun – satu angka besar yang menggerunkan.
Encik Muhammad Sha’ani menekankan kebimbangan bahawa rokok adalah tapak kepada gejala ketagihan dadah dan ia terbukti apabila data menunjukkan 99 peratus penagih dadah di pusat serenti mengakui telah memulakan amalan penagihan dadah bermula dengan tabiat merokok.
“Jadi penting buat semua pihak sedar bahawa tabiat merokok ini sama bahayanya seperti penyalahgunaan dadah.
“Sekarang kita juga dibebani ancaman baru yang akan melonjakkan lagi kes ketagihan sebegini iaitu pengambilan ‘vape’, atau rokok elektronik, lebih-lebih lagi yang disalah guna dan dicampur dadah,” katanya.
Menurut Encik Muhammad Sha’ani kesan asap rokok terhadap kesihatan dan ekonomi isi rumah lebih parah daripada yang disedari masyarakat.
Menurutnya ramai mangsa yang mengalami penyakit kronik, hilang upaya dan memerlukan penjagaan rapi, malah dalam banyak kes, ada yang terpaksa menjual harta benda dan membuat pinjaman wang bagi menampung kos rawatan tinggi.
Kerajaan Malaysia juga membelanjakan berbilion ringgit untuk merawat pesakit merokok dan Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan kos rawatan itu akan meningkat sehingga RM8.8 bilion ($2.65 bilion) menjelang 2030.
Lebih memburukkan keadaan ialah tabiat dan ketagihan merokok juga memberi kesan jangka panjang dalam proses pertumbuhan kanak-kanak dan diyakini menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes masalah kanak-kanak bantut di Malaysia.
“Kesan merokok tidak kelihatan secara langsung, tetapi data menunjukkan kaitannya dengan masalah seperti bantut, sesuatu yang masyarakat masih belum sedar sepenuhnya.
“Sebagai contoh Putrajaya merekodkan kadar kanak-kanak bantut mencecah 20 peratus dan prevalens merokok juga antara yang tertinggi di situ.
“Ini boleh menunjukkan bahawa kebanyakan perokok mengutamakan kepentingan sendiri berbanding anak-anak.
“Mereka membelanjakan lebih banyak wang untuk membeli rokok berbanding menyediakan makanan berkhasiat untuk anak-anak dan mendedahkan anak kepada asap rokok yang merosakkan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Persatuan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Encik Hashim Anang, menggesa penglibatan serius dan agresif masyarakat untuk mengekang masalah ketagihan dadah terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kebanyakannya bermula dengan rokok dan ‘’vape’ lalu terjebak ke lembah dadah.
“Ada pelajar sekolah tanpa segan silu merokok di luar pintu pagar sekolah, peranan masyarakat penting untuk membendung masalah ini.
“Jika tidak, kita akan mewariskan generasi rosak pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu Encik Muhammad Sha’ani berkata walaupun Malaysia mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara, tetapi pencapaian dalam usaha membasmi dadah masih mencabar, begitu juga rokok yang diketahui membahayakan kesihatan, tetapi masih gagal dibendung pengambilannya.
“Justeru kita perlu meningkatkan tindakan dan komitmen supaya kita dapat melindungi dan menyelamatkan generasi akan datang daripada menjadi mangsa akibat kesan ketagihan terhadap rokok dan dadah.
“Ingatlah, apa-apa yang disedut paru-paru selain udara segar pasti memberi kesan kepada tubuh,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg