SEPANG: Seramai 284 anggota jemaah haji menjadi kumpulan pertama dari Malaysia yang berlepas ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada awal pagi 29 April.
Mereka berlepas dari stesen Alor Setar, Kedah, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di Kuala Lumpur.
Pesawat Malaysia Airlines MH8050 yang membawa jemaah itu berlepas dari KLIA Terminal 1 pada 4.05 pagi menuju ke Madinah.
Majlis pelepasan jemaah haji kumpulan pertama itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Datuk Mohd Na’im ketika ditemui mengingatkan semua jemaah haji Malaysia pada musim ini supaya mengekalkan imej baik negara di mata dunia.
“Semua jemaah haji perlu mematuhi dan menghormati peraturan Arab Saudi dengan mengelakkan daripada terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang tuan rumah,” katanya, lapor Kosmo!.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi, terutamanya Kementerian Haji dan Umrah kerana meneruskan inisiatif Makkah Route buat tahun ketujuh pelaksanaannya.
Di samping itu, Malaysia juga terpilih sebagai negara pertama di dunia yang mengagihkan kad Nusuk kepada jemaah di dalam negara sendiri untuk musim haji kali ini.
“Semua jemaah dinasihatkan sentiasa bawa kad Nusuk ketika menunaikan apa-apa rukun haji kerana ia adalah kad pengenalan rasmi yang diperkenalkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ketika berada di tanah suci.
“Misalnya jemaah haji hendak masuk ke Arafah, Mina, Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa adanya kad (Nusuk) ini mereka tak boleh masuk,” tambahnya.
Kata Datuk Mohd Na’im, kad Nusuk yang ditambah baik, kini dilengkapi dengan kod respons pantas (QR) bagi mengelakkan sebarang cubaan pemalsuan terhadap kad pengenalan rasmi jemaah haji.
Katanya kad terbaru itu juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat bagi menjamin keselamatan pemegang kad berkenaan.
“Maknanya, kalau ada sebarang usaha untuk buat salinan, ia agak sukar sebab dilengkapi beberapa lapisan keselamatan yang telah ditambah baik oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg