Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

29 tahun bernikah, rupanya ikatan tidak sah

Nov 14, 2025 | 4:04 PM
Cik Latifah (bukan nama sebenar) hanya mengetahui ikatan perkahwinannya bersama suami tidak sah selepas 29 tahun bernikah.
Cik Latifah (bukan nama sebenar) hanya mengetahui ikatan perkahwinannya bersama suami tidak sah selepas 29 tahun bernikah. - Foto hiasan KOSMO!

KUALA LUMPUR: Ikatan perkahwinan yang dibina selama 29 tahun disangka sempurna, rupa-rupanya tidak sah akibat terjebak sindiket nikah membabitkan wali hakim palsu.

Itulah nasib menimpa Cik Latifah (bukan nama sebenar), 58 tahun, berasal dari Kuala Lumpur, yang bernikah dengan suaminya pada 1996 di Perak sebagai isteri kedua, tanpa pengetahuan keluarga.

Beliau yang pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh, Perak, bagi mendapatkan pengesahan perkahwinan baru-baru ini terkejut apabila hakim syarie mengesahkan perkahwinannya bersama Allahyarham suami sebagai nikah fasid.

Ia berikutan ketika pernikahan itu, individu yang berperanan sebagai ‘naib kadi’ melantik dirinya sendiri sebagai ‘wali hakim’ secara salah tanpa melalui Mahkamah Syariah.

Malahan, terdapat fatwa khusus dikeluarkan Pejabat Mufti Negeri Perak bertarikh 29 Julai 1997 yang memutuskan pernikahan pasangan yang bernikah secara wali hakim dengan bekas naib kadi itu selepas 22 Julai 1989, adalah tidak sah.

“Ketika kami bernikah, ayah kandung saya masih hidup dan ada di Kuala Lumpur.

“Saya bernikah di Gopeng, Perak, kerana suami yang ajak nikah di situ tanpa kehadiran ayah kandung saya,” katanya, lapor Harian Metro.

Wanita itu berkata beliau juga mengakui di hadapan hakim bahawa beliau tidak pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan kebenaran melantik wali hakim.

Menurutnya, akibat pernikahannya tidak sah, maka beliau tidak boleh menuntut harta pusaka yang ditinggalkan Allahyarham suaminya.

“Saya rasa amat terkilan kerana lebih 20 tahun hidup bersama, pahit manis dilalui, tetapi rupanya pernikahan kami tidak sah.

“Malah saya jadi isteri yang tidak sah di sisi agama dan undang-undang. Itu sangat menyakitkan,” katanya sebak.

Wanita itu berkata penyesalannya bertambah apabila mengenangkan dua anak yang kini dewasa kerana status perkahwinan memberi kesan besar terhadap kedudukan nasab dan hak mereka.

“Kalau boleh diputarkan masa, saya tidak akan sekali-kali ikut jalan mudah untuk nikah dahulu. Saya ingat ia sah sebab ada orang yang mengaku sebagai wali hakim,” katanya.

Cik Latifah turut menasihatkan wanita lain supaya berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai individu yang menawarkan jalan pintas untuk bernikah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg