Malaysia merekodkan sejumlah 31 kes buli di lapan universiti awam (UA) dalam tempoh 11 tahun sejak 2014 hingga 2025 setakat ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata kes yang direkodkan melibatkan buli secara fizikal dan buli di ruang siber dengan kementeriannya memandang serius isu buli sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta.
Beliau berkata semua kes buli yang dilaporkan sudah diambil tindakan di peringkat pengurusan universiti masing-masing dan kebanyakannya dikesan berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
“Dalam konteks universiti awam, sekiranya pelajar terlibat dalam kes buli, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-Kaedah (Tatatertib Pelajar) yang telah diseragamkan melalui pindaan yang dibuat pada 2024.
“Kaedah ini juga memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan.
“Seseorang pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan buli di bawah kaedah-kaedah ini boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai.
“Ia termasuk amaran; khidmat masyarakat tidak lebih 24 jam; denda tidak lebih RM500 ($151); dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam kampus; digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi satu tempoh atau dibuang daripada universiti,” jelasnya.
Datuk Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Alor Setar (Kedah) daripada Perikatan Nasional (PN) berhubung langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengekang kejadian buli di IPT awam dan swasta pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada 12 Ogos.
Datuk Zambry berkata bagi IPT swasta pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 (Akta 555) memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPT swasta dalam menjalankan penyeliaan am termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin di institusi berkenaan meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh.
Jelas Datuk Zambry, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di IPT, mahupun melindungi pelaku serta akan menjalankan siasatan telus dan profesional bagi sebarang kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT.
Sementara itu mengulas mengenai perkembangan siasatan kes kematian seorang pelatih kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, 22 tahun, pada 28 Julai lalu, Datuk Zambry berkata satu jawatankuasa khas telah diwujudkan di bawah Kementerian Pertahanan bagi menyiasat kes terbabit.
Jawatankuasa khas berkenaan katanya akan membuat kajian dan memastikan laporan lengkap dapat disediakan dalam kadar segera berhubung kematian pelajar itu.
“Kes ini di peringkat siasatan dan laporan dijangka diketahui dalam tempoh terdekat,” katanya.
Media Malaysia pada 1 Ogos lalu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan terperinci punca kematian Syamsul Haris semasa menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), di Johor.
Ibu kepada Allahyarham, Cik Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 tahun, pada 11 Ogos lalu, menggesa bedah siasat kedua dijalankan dan sedia mengizinkan kubur anaknya itu digali semula bagi mengetahui punca sebenar kematian Syamsul Haris.
Cik Ummu Haiman mengesyaki wujud unsur jenayah dalam kematian anaknya itu dan mendakwa terdapat kecederaan seperti lebam di mata, pendarahan luar biasa melalui hidung dan mata, luka di mulut serta pendarahan teruk di leher yang ditutup dengan kapas tebal.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg