KUALA LUMPUR: Pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 22 November, atas tuduhan mencederakan seorang junior dengan memijak perut mangsa dengan kasut but.
Mohd Adil Mat Awang Ghani, 22 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
“Faham (tuduhan), tidak (mengaku bersalah) puan,” katanya daripada kandang tertuduh, lapor Harian Metro.
Mengikut tuduhan, mahasiswa itu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Encik Muhammad Haziq Iqbal Ahmad Rashidi, 19 tahun, apabila memijak perut mangsa dengan memakai kasut but.
Kesalahan itu dilakukan di padang kawad ALK UPNM, Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, pada 10.45 malam, 21 Oktober.
Mohd Adil dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 ($599) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Noorelynna Hanim kemudian membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwa, serta sebutan semula kes pada 10 Februari 2025.
Sebelum ini, media Malaysia melaporkan satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan penuntut tahun satu yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang.
Kejadian dilaporkan pada 21 Oktober, sehari sebelum seorang penuntut tahun dua varsiti berkenaan ditekap seterika oleh penuntut tahun empat.
Ketika kejadian, mangsa sedang berada di tepi padang kawad selepas selesai sesi panggil nama.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak seorang penuntut tahun tiga dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.
Kes buli di UPNM, iaitu universiti yang melahirkan pelapis ketenteraan Malaysia mendapat perhatian ramai sejak 2017 susulan tragedi pembunuhan seorang Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21 tahun.
Mangsa meninggal dunia selepas menjadi mangsa buli kejam dan dera rakan sekampus ketika menuntut di UPNM pada 1 Jun 2017.
Allahyarham Zulfarhan ditekap dengan sterika wap berkali-kali sehingga meninggalkan 90 kesan lecur termasuk di kemaluan dalam keadaan kaki dan tangannya terikat, serta dibiarkan menggelupur di lantai dalam keadaan kesakitan.
Enam tertuduh yang didapati bersalah dalam kes berkenaan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg