KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mengesahkan kuota haji bagi seramai 31,600 anggota jemaah bagi musim haji 2025 dan sedang berusaha mendapatkan 10,000 lagi kuota tambahan daripada Arab Saudi.
Jumlah kuota haji itu adalah antara kandungan Memorandum Urusan Haji yang ditandatangani Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, di Superdome, Jeddah, baru-baru ini.
Mengulas memorandum itu, Datuk Mohd Na’im berkata ia adalah komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah, khusus bagi musim haji akan datang.
Memorandum itu, katanya membabitkan beberapa persetujuan, antaranya jumlah kuota haji rasmi Malaysia seramai 31,600 orang pada 2025, selain Malaysia akan menyelesaikan semua kontrak bersama pelbagai pihak di Saudi lebih awal, bagi memudahkan pengurusan jemaah haji di tanah suci.
Beliau berkata Malaysia turut menyatakan persetujuan mematuhi garis panduan berkaitan ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang Madinah dan Jeddah seperti ditetapkan Kementerian Haji dan Umrah Saudi .
“Alhamdulillah, menerusi kunjungan rasmi ini, kita memeterai memorandum bagi mengukuhkan lagi hubungan akrab yang sekian lama terjalin antara Malaysia dengan Saudi.
“Ini adalah antara usaha berterusan kerajaan dan TH dalam menambah baik pengurusan jemaah haji negara secara keseluruhan serta membuka peluang peningkatan mutu perkhidmatan TH di tanah suci melalui kerjasama beberapa pihak di Saudi,” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Januari, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Mohd Na’im ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Tawfiq turut mengemukakan permohonan kuota haji tambahan sebanyak 10,000 dengan ia akan dipertimbangkan sewajarnya oleh Kementerian Haji dan Umrah Saudi.
Pertemuan rasmi itu diadakan sempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kementerian Haji dan Umrah Saudi, yang mengumpulkan pengendali operasi haji dan umrah dari seluruh dunia.
Jumlah kuota 31,600 anggota jemaah haji untuk Malaysia itu telah dikekalkan oleh Kerajaan Arab Saudi sepanjang tempoh beberapa tahun lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg