KUALA LUMPUR: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) Malaysia menerima 37,002 panggilan daripada mangsa scam (penipuan) yang melaporkan kerugian berjumlah RM203.33 juta ($58.37 juta) hingga Mei 2024.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejak penubuhan NSRC pada 12 Oktober 2022 hingga Mei 2024, ia menerima 95,094 panggilan daripada orang ramai.
“Kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah sebanyak 10,649 bagi kes kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Sebanyak 74 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram pula telah dibuka melibatkan pembekuan 637 akaun yang berjumlah RM72.38 juta,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, lapor Sinar Harian.
Datuk Anwar menjawab soalan Encik Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), yang ingin tahu sejauh mana keberkesanan NSRC dalam menangani jenayah penipuan dalam talian dan mengesan modus operandi scammer (penipu).
Beliau menambah bahawa NSRC dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga telah mengambil tindakan sekatan nombor telefon yang digunakan oleh scammer.
Hingga Mei 2024, sebanyak 131 nombor talian ditamatkan kerana terlibat dengan kegiatan penipuan dan 112 nombor talian meragukan disekat.
Jenayah penipuan semakin berleluasa dengan ramai mangsa mengalami kerugian puluhan ribu hingga jutaan ringgit.
Kebanyakan kes yang direkodkan melibatkan mangsa terpedaya oleh skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan segera.
Pada 15 Jun, media tempatan melaporkan dua lelaki rakyat Malaysia yang diekstradisi ke Singapura disyaki adalah anggota sebuah sindiket penipuan antarabangsa yang dikenali sebagai, Trojan Spymax.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mereka ditahan di Pulau Pinang dan Johor pada 13 Jun.
Beliau berkata penahanan lelaki berusia 27 dan 48 tahun itu dilakukan dalam satu operasi oleh pasukan JSJK dan Polis Antarabangsa (Interpol) Bukit Aman bersama Pasukan Polis Singapura.
“Kedua-duanya disyaki ahli sindiket Trojan Spymax yang terbabit secara langsung dengan sindiket penipuan antarabangsa yang giat melakukan penipuan di rantau Asia, khususnya di Singapura,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg