KUALA LUMPUR: Polis menahan lapan individu termasuk pegawai bank dan ahli sindiket, berhubung kes kehilangan wang berjumlah RM24.2 juta ($6.94 juta), dari beberapa akaun simpanan sebuah bank di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kesemua mereka yang berusia antara 30-an tahun hingga 50-an tahun ditahan dari 13 Jun hingga 17 Jun lalu.
Beliau berkata pihaknya percaya lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas lapan suspek yang ditahan.
“Tujuh tangkapan yang dilakukan di Sabah terdiri daripada ahli sindiket serta kakitangan bank. Setakat ini seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berhubung kes pecah amanah pada 2011.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan. Selain memberi fokus kepada siasatan, usaha mendapatkan kembali wang yang dilaporkan hilang turut dilakukan,” katanya lapor Berita Harian Malaysia.
Pada 15 Jun lalu, JSJK dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan seorang wanita pegawai sebuah bank di Kota Kinabalu, Sabah, berhubung kes kehilangan wang dari akaun simpanan pelanggan bank berjumlah RM24.2 juta pada 13 Jun lalu.
Sehari kemudian JSJK menahan seorang lelaki yang dipercayai mendalangi sindiket yang terbabit dalam kejadian ini.
Datuk Ramli berkata siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank.
Sementara itu Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) menegaskan bank perlu mengawasi kakitangannya yang melanggar undang-undang atau bersekongkol dengan penjenayah kewangan untuk mengubah wang haram.
ABM juga mahu setiap bank memandang serius terhadap pelanggaran undang-undang dilakukan kakitangan dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
Pada Mei lalu, Bank Negara Malaysia mengingatkan semua institusi kewangan perlu melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang transaksi mencurigakan seperti termaktub di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, serta undang-undang subsidiarinya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg