Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar: RM19b wang jenayah penipuan dalam talian disekat

Dec 3, 2024 | 3:09 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen Malaysia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen Malaysia. - Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Malaysia berjaya menyekat RM19 bilion ($5.7 bilion) wang jenayah penipuan dalam talian dan menyita sejumlah RM6 juta setakat ini.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia merupakan antara kejayaan NSRC yang melibatkan kerjasama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC); Bank Negara Malaysia (BNM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta institusi kewangan dan industri telekomunikasi.

“Semenjak penubuhan NSRC pada Oktober 2022 hingga Oktober 2024, sebanyak 140,474 panggilan telah diterima oleh NSRC yang merangkumi sebanyak 69,000 panggilan melibatkan laporan kes penipuan,” katanya di Parlimen Malaysia, lapor Harian Metro.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pulai (Johor), Encik Suhaizan Kaiat sama ada kerajaan akan mengkaji semula lesen pinjaman wang di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bagaimana kerajaan boleh menoktahkan isu penipuan dan manipulasi dalam pentadbiran bank.

Datuk Anwar berkata kerugian akibat jenayah dalam talian sebanyak RM1.224 bilion direkodkan dari Januari hingga Oktober 2024, merangkumi penipuan dalam talian jenayah telekomunikasi, e-kewangan, penipuan cinta, e-dagang, pinjaman dan pelaburan yang tidak wujud.

Bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa penipuan, lebih 1.4 bilion panggilan meragukan dan 1.2 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta juga berjaya disekat oleh syarikat telekomunikasi.

“Kementerian Komunikasi menerusi MCMC berjaya menamatkan 118,184 talian dan menyekat akses kepada 9,474 laman palsu yang telah dikesan,” katanya.

Datuk Anwar turut menzahirkan kebimbangan dengan perangkaan portal Semak Mule yang menunjukkan sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 181,628 nombor telefon; 222,092 nombor akaun bank dan 1,395 nama syarikat direkodkan melibatkan penipuan jenayah dalam talian.

“Portal ini banyak membantu kerana dengan laporan 32,066,000 carian telah dibuat dan 22,200,984 memberi jawapan positif.

“Maknanya ada usaha memindahkan wang mereka kepada akaun mule tetapi banyak terselamat kerana digerakkan, kerana kita gunakan portal Semak Mule menerusi https://semakmule.rmp.gov.my,” katanya.

Datuk Anwar berkata isu penipuan dalam talian memang serius kerana mengikut rekod Asean, seluruh jenayah penipuan bernilai AS$64 bilion ($86 bilion),” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg