Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk dipindah akibat tanah runtuh, banjir di Cameron Highlands

Oct 8, 2024 | 5:49 PM
Keadaan banjir dan tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil di Cameron Highlands, Pahang.
Keadaan banjir dan tanah runtuh di Kampung Sungai Ruil di Cameron Highlands, Pahang. - Foto ANGKATAN PERTAHAHAN AWAM MALAYSIA

Kampung Sungai Ruil di Cameron Highlands, Pahang, dilanda banjir kilat dan tanah runtuh, menyebabkan 31 mangsa daripada lima keluarga terpaksa dipindahkan.

Sementara itu, Melaka dan Perlis menjadi negeri terbaru dilanda banjir, selepas Johor, Perak Kedah dan Selangor.

Menurut satu kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Cameron Highlands, kejadian tanah runtuh dan banjir kilat itu berlaku kira-kira 6 petang pada 7 Oktober, menyebabkan 11 lelaki, 10 wanita dan lapan kanak-kanak terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Bencana itu dikatakan berpunca daripada hujan lebat yang melanda kawasan tersebut, menyebabkan paras air sungai meningkat mendadak dan tanah di beberapa kawasan menjadi tidak stabil.

“Kerja-kerja membersihkan jalan dan kawasan sekitar yang terjejas sedang dilakukan bagi memastikan keadaan kembali selamat untuk penduduk setempat,” kata kenyataan itu pada 8 Oktober.

Tular di media sosial video mengenai kejadian banjir dan tanah runtuh itu, yang menunjukkan aliran air deras dari bahagian atas ke bahagian bawah kawasan penempatan di perkampungan itu.

Sementara itu, setakat 5 petang 8 Oktober, jumlah mangsa banjir di enam negeri terlibat meningkat kepada 2,068 orang daripada 576 keluarga yang mendapatkan perlindungan di 29 PPS.

Kedah, yang mengalami gelombang kedua banjir, mencatatkan peningkatan jumlah mangsa dan tertinggi, iaitu 953 orang daripada 287 keluarga.

Pada 7 Oktober, banjir di negeri itu hanya menjejas 352 mangsa daripada 103 keluarga.

Kesemua mangsa dari daerah terjejas, iaitu Kubang Pasu, Pendang dan Kota Setar, kini ditempatkan di 13 PPS.

Jumlah mangsa di Johor pula menunjukkan penurunan kepada 655 mangsa daripada 172 keluarga, berbanding 811 mangsa daripada 240 keluarga pada 7 Oktober. Mereka masih berlindung di enam PPS di tiga daerah, iaitu Kluang, Pontian dan Batu Pahat.

Perak juga semakin pulih daripada banjir dengan jumlah mangsa yang masih berada di tiga PPS di dua daerah terjejas, iaitu Hilir Perak dan Kerian, adalah seramai 203 orang daripada 56 keluarga.

Mangsa banjir di Selangor pula berkurangan kepada 151 orang daripada 29 keluarga di tiga PPS di Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Melaka mula dilanda banjir sejak tengah hari 7 Oktober dan hingga kini 203 mangsa daripada 56 keluarga telah dipindahkan ke tiga PPS di Jasin.

Perlis pula hanya merekodkan 84 mangsa daripada 26 keluarga yang terjejas dan mangsa kini berada di tiga PPS di daerah Arau, Kangar dan Padang Besar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg