Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jemaah umrah terkandas: Polis Selangor tahan suami isteri didakwa tipu pakej

Jan 16, 2025 | 1:11 PM
Polis Selangor melakukan siasatan di pejabat sebuah syarikat agensi pelancongan di Sepang, Selangor, yang turut menawarkan pakej umrah selepas didakwa menipu pakej umrah sebabkan ramai jemaah terkandas. 
Polis Selangor melakukan siasatan di pejabat sebuah syarikat agensi pelancongan di Sepang, Selangor, yang turut menawarkan pakej umrah selepas didakwa menipu pakej umrah sebabkan ramai jemaah terkandas.  - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan pasangan suami isteri sebuah syarikat agensi pelancongan selepas disyaki melakukan penipuan pakej umrah dengan jumlah kerugian dianggarkan RM100,000 ($30,400).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata kededua suspek berusia 31 tahun ditahan di ibu negara kira-kira 7 malam pada 15 Januari, oleh sepasukan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Kontinjen Selangor.

Beliau berkata susulan penahanan, polis turut merampas beberapa komputer, pasport serta beberapa dokumen berkaitan bagi tujuan siasatan.

“Penahanan dibuat susulan laporan yang diterima Polis Daerah Sepang daripada seorang pekerja wanita syarikat swasta berusia 39 tahun, yang mengalami kerugian RM11,000 selepas terkandas untuk mengerjakan umrah, pada 15 Januari.

“Siasatan awal mendapati syarikat ini mula menjalankan perniagaan sejak 2022, namun berpindah di sebuah premis tiga tingkat dalam daerah Sepang, Selangor, sejak Oktober 2024.

“Modus operandi yang digunakan suspek untuk memperdayakan mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok Hejira mengenai pakej umrah dan mangsa berhubung dengan ejen yang dilantik pihak syarikat,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Hussein berkata setakat ini sebanyak tujuh laporan polis diterima Polis Selangor membabitkan kerugian dianggarkan RM100,000.

“Pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Datuk Hussein menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial.

“Dapatkan pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah terlebih dahulu dengan membuat rujukan dan semakan dengan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac),” katanya.

Media Malaysia melaporkan pengarah syarikat berkenaan ditahan di ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia kira-kira 6.45 petang pada 15 Januari.

Ketika ditahan, suspek baru selesai mengadakan sidang media dan perjumpaan bersama sebahagian jemaah umrah yang terkandas.

Sebelum ini, lebih 300 jemaah umrah dilaporkan terkandas apabila tarikh dijanjikan kepada mereka untuk diterbangkan ke Tanah Suci ditunda syarikat pengendali umrah itu dengan pelbagai alasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg