5 sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Pahang
5 sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Pahang
Kejadian berlaku awal pagi 26 Feb
5 sekeluarga rentung dalam kebakaran rumah di Pahang
RAUB (Pahang): Lima sekeluarga maut rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang, awal pagi 26 Februari.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata maklumat kejadian diterima pada 3.35 pagi.
“Sejurus proses pemadaman kebakaran selesai, kita menemui semua mangsa di tempat kejadian,” katanya, lapor Harian Metro.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd Alawi Muhammad, 56 tahun; isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44 tahun; serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17 tahun; Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14 tahun; dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10 tahun.
Ruby Adira Batrisya adalah pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketika kejadian, dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah kerana menetap di asrama.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim, dalam satu kenyataan berkata pasukannya tiba di tempat kejadian pada 4.15 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada 4.48 pagi.
Api memusnahkan 100 peratus struktur rumah, tiga kereta dan tiga motosikal, katanya.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air dari tangki pam jentera bomba,” katanya.
Sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS), dari BBP Raub, dibantu lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis, terbabit dalam operasi itu.
Sementara itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau mendoakan agar ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi ujian berat itu.
“Saya menerima perkhabaran yang amat mendukacitakan pagi ini mengenai tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat yang mengorbankan lima sekeluarga pada awal pagi tadi.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa atas kehilangan yang amat besar ini,” katanya.

