KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 58 individu bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian sempena Piala Dunia 2026, membabitkan nilai pertaruhan hampir setengah juta ringgit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata tangkapan itu menerusi operasi bersepadu Ops Soga XI yang bermula pada 11 Jun lalu, yang dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan menerusi 52 serbuan berasingan itu, seramai 54 lelaki dan empat wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.

“Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah wang tunai berjumlah RM25,684 ($8,064) selain nilai pertaruhan sebanyak RM488,582,” katanya dalam kenyataan pada 18 Jun, lapor Harian Metro.

Beliau berkata pihak polis turut mengesan sebanyak 42 platform yang digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian membabitkan laman sesawang, aplikasi, media sosial serta platform dalam talian.

“Menyusuli itu, tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan bantuan SKMM.

“Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Datuk Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“PDRM akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan menerusi Ops Soga sehingga 19 Julai depan, selain memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perjudian haram,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha memerangi aktiviti berkenaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, PDRM turut menumpaskan kegiatan sindiket perjudian yang menjadikan sebuah unit kediaman mewah di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sebagai mini kasino dan perjudian dalam talian selepas diserbu pada 13 Jun lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintenden Lim Chun How, berkata dalam serbuan di bawah Op Noda/Dadu oleh Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) IPD Cheras, itu, seramai 15 individu berusia antara 21 hingga 44 tahun ditahan.