60,000 pengundi akan pilih pengganti Bung Mokhtar di Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag
60,000 pengundi akan pilih pengganti Bung Mokhtar di Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag
Pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Sabah, pada 24 Januari, menyaksikan lebih 62,000 pengundi layak memilih pengganti bagi mengisi kekosongan kerusi ditinggalkan mantan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Almarhum Datuk Bung Moktar Radin.
Datuk Bung meninggal dunia selepas seminggu mempertahankan kemenangan di kerusi DUN Lamag, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang berlangsung pada 29 November 2025.
Beliau meninggal dunia akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru, pada awal pagi 5 Disember 2025 di usia 66 tahun, ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.
Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan, anak Almarhum, Encik Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32 tahun, menggalas tanggungjawab untuk mengekalkan legasi penguasaan BN selama enam penggal oleh bapanya di kerusi itu.
Encik Mohd Kurniawan, yang juga Ketua Pemuda Umno Kinabatangan, akan dicabar calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Saddi Abdul Rahman dan calon bebas, Encik Goldam Hamid.
PRK Untuk kerusi DUN Lamag pula, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Encik Mohd Ismail Ayob, dan Cik Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.
Penganalisis politik Profesor Dr Azmi Hassan, menjangkakan BN berupaya mempertahankan kedua-dua kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada PRK ini, meskipun berdepan tentangan hebat daripada Warisan sebagai parti tempatan dari Sabah.
Beliau yang juga Zamil Kanan dan Geostrategis Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, bagaimanapun, menjangkakan kemenangan berkemungkinan diraih dengan majoriti yang kecil.
Menurutnya, terdapat dua faktor utama yang boleh memihak kepada BN, termasuk undi simpati menyusuli pemergian Almarhum Datuk Bung, yang disifatkan mempunyai jasa besar kepada masyarakat di Kinabatangan dan Lamag.
“Jasa Allahyarham kepada penduduk di kawasan itu bukan sesuatu yang kecil atau mudah dilupakan, dan ini dijangka menterjemah kepada undi simpati buat calon BN,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Faktor kedua yang dianggap paling penting kata Profesor Dr Azmi ialah kedudukan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, yang turut disokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Pakatan Harapan (PH).
Sekiranya penyokong GRS dan PH keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon BN seperti yang diharapkan, beliau berkata peluang BN untuk mengekalkan kedua-dua kerusi adalah tinggi.
Dalam masa sama, Profesor Dr Azmi tidak menafikan Warisan mempunyai kelebihan tersendiri sebagai parti tempatan, berbanding BN yang meskipun mempunyai kuasa autonomi di negeri itu, masih sering dilihat sebagai parti berakar dari Semenanjung Malaysia.
“Faktor isu tempatan ini memberi sedikit kelebihan kepada Warisan,” katanya sambil menegaskan keputusan PRK banyak bergantung kepada kadar keluar mengundi.
Menurut beliau, peratusan keluar mengundi yang lazimnya rendah dalam PRK, boleh membuka ruang kepada Warisan untuk mencabar BN dengan lebih berkesan.
“Namun, apa jua keputusan di Kinabatangan dan Lamag tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri atau Persekutuan. Ini yang dibimbangi BN kerana pengundi mungkin tidak melihat keperluan untuk keluar mengundi pada PRK, sekali gus menjejaskan peluang kemenangan,” katanya.
Pada PRN Sabah, Almarhum Datuk Bung, mengekalkan kuasa di kerusi DUN Lamag, dengan majoriti lebih 150 undi dalam persaingan enam penjuru.

