Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan raya Kinabatangan: Anak Bung Mokhtar pikul amanah teruskan legasi

Jan 14, 2026 | 2:06 PM
pilihan, raya, kecil, Kinabatangan
Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan (Sabah), Encik Mohd Kurniawan Naim Moktar (tengah), bersama jentera pilihan raya ketika turun berkempen untuk meraih undi. - Foto BERNAMA

KINABATANGAN (Sabah): Anak kepada mantan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Encik Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32 tahun, yang juga calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, mengakui debaran dan cabaran dihadapi untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepada BN.

Beliau yang juga dikenali sebagai Naim Moktar berkata mengakui amanah yang dipikulnya sangat berat untuk meneruskan legasi kepimpinan ditinggalkan bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sepanjang menjadi Ahli Parlimen (AP) Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Allahyarham Datuk Bung yang meninggal dunia pada 5 Disember lalu pada usia 66 tahun akibat kegagalan buah pinggang. Hari pengundian ialah pada 24 Januari ini.

Bagaimanapun Encik Naim Moktar yang juga Ketua Pemuda Umno Kinabatangan menzahirkan komitmen untuk berjuang bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan Parlimen itu terus terbela.

“Saya akui sepanjang bertemu pengundi ketika tempoh kempen, mereka meletakkan harapan tinggi mahu saya menyambung khidmat bakti bapa menabur jasa selama lebih dua dekad di Parlimen Kinabatangan sejak 1999.

“Saya akui sepanjang masa saya membantu ayah saya berkhidmat untuk penduduk Kinabatangan, ia bukanlah tugas yang mudah. ​​Saya tahu bagaimana beliau bekerja dan ia adalah satu beban bagi saya untuk mengekalkan momentum ini.

“… tetapi apabila sudah tiba masanya, mahu atau tidak mahu, ini tanggungjawab saya apabila dipilih parti (untuk bertanding di Parlimen Kinabatangan). Saya akan usahakan kalau tidak lebih baik, sama baik dengan yang beliau (Bung Moktar) sudah usahakan,” katanya, lapor Harian Metro.

Berhadapan kritikan bahawa pencalonannya dipengaruhi faktor legasi keluarga, Encik Naim Moktar berkata perkara itu diputuskan pucuk pimpinan tertinggi parti dan bukan datang daripada permintaannya.

Beliau berkata sejak terbabit dalam arena politik pada 2013 sebagai ahli biasa Umno, beliau lebih selesa berperanan di belakang tabir dengan fokus kepada kerja pengukuhan parti berbanding menonjolkan diri, namun bersedia menggalas tanggungjawab yang diberi kepimpinan parti.

“Keutamaan saya ialah memperjuangkan peruntukan untuk Kinabatangan. Kawasan ini seluas Johor, tetapi hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen.

“Disebabkan keluasan yang terlalu besar dan (kedudukan penduduk) yang berselerak, saya akan memperjuangkan persempadanan semula supaya lebih banyak peruntukan dapat disalurkan di semua tempat dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Parlimen Kinabatangan, yang merangkumi keluasan kira-kira 18,068 kilometer persegi dengan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau berada di bawahnya.

Ia hampir menyamai keluasan Johor yang berkeluasan 19,210 kilometer persegi dan mempunyai 10 daerah iaitu Johor Bahru, Tangkak, Pontian, Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulai, Batu Pahat dan Muar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg