Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 sekeluarga dikhuatiri tertimbus akibat tanah runtuh di Sabah

Sep 15, 2025 | 3:09 PM
kota kinabalu, landslide sabah
Anggota Bomba dan Penyelamat bersama penduduk melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian rumah ditimbus tanah runtuh di Kolombong, Kota Kinabalu. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Tujuh orang dilaporkan hilang manakala dua ditemui cedera selepas sebuah rumah setinggan dipercayai dihuni sembilan sekeluarga, ditimbus tanah runtuh dekat Kampung Cenderakasih, Kolombong di sini, pagi 15 September.

Kejadian dipercayai sebelum 10 pagi tadi susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan struktur tanah berbukit di kawasan itu tidak stabil.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Encik Mohd Pisar Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada 10.02 pagi sebelum pihaknya tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Lintas dengan sebuah jentera lagi dihantar ke lokasi.

Pemanggil memberitahu sembilan mangsa dilaporkan tertimbus tetapi dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Berita Harian Malaysia.

Berdasarkan laporan awal, katanya, pemanggil melaporkan kejadian tanah runtuh dan menyebabkan semua rumah runtuh.

“Mangsa pertama dikenali sebagai Abdullah dihantar ke Hospital Likas dan dilaporkan cedera paha kiri,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang, Sabah pada 11 September lalu, seorang mayat warga emas yang dilaporkan hilang dalam kejadian itu ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pagi 12 September.

Mayat lelaki berusia 97 tahun itu ditemui tertimbus di tingkat bawah rumah kira-kira 10.35 pagi sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba pada 10.45 pagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg