72 parti politik berdaftar di M’sia, 16 dalam pertimbangan kelulusan
72 parti politik berdaftar di M’sia, 16 dalam pertimbangan kelulusan
PUTRAJAYA: Sebanyak 72 parti politik berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengikut Akta Pertubuhan 1966 ketika ini dengan sebahagian besarnya dijangka bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua Pengarah ROS, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata jumlah itu tidak termasuk 16 parti baru yang ketika ini sedang dalam pertimbangan untuk kelulusan ROS.
Beliau berkata daripada 16 parti baru itu, 14 sedang menunggu pengesahan tapisan keselamatan, manakala dua lagi dalam proses semakan peringkat perlembagaan dengan tempoh kelulusan pendaftaran parti boleh mengambil masa sehingga setahun.
“Kita tidak boleh sekat individu atau masyarakat membuat persatuan atau menubuhkan parti politik mengikut 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan... hanya ada satu dua parti saja yang dikesan tidak bertanding pada pilihan raya.
“Secara keseluruhannya, trend dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang sederhana dan terkawal.
“Ada juga parti politik yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan etnik.
“Pertambahan pendaftaran parti politik kebiasaannya dipengaruhi perkembangan landskap politik semasa serta minat kumpulan tertentu menubuhkan platform politik bagi menyuarakan kepentingan atau agenda mereka.
“Bagi ROS, peningkatan bilangan parti politik ini tidak semestinya membimbangkan selagi beroperasi secara sah dan adanya tadbir urus yang baik, cuma bila banyak sangat parti politik, dikhuatiri tiada yang dominan,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau berkata 72 parti berdaftar dengan 100,869 cawangan itu membabitkan lima gabungan besar iaitu Barisan Nasional (BN); Pakatan Harapan (PH); Perikatan Nasional (PN); Gabungan Parti Rakyat Sabah (GPRS); dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Sehingga kini, katanya, Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) belum lagi ditubuhkan secara rasmi sebagai satu gabungan, manakala sejak 2024 hingga kini, hanya empat parti baru diluluskan ROS iaitu Parti Gemilang Anak Sabah, Parti Perjuangan Rakyat, Parti Rumpun Sabah dan Parti Hati.
IPR ialah gabungan yang diperkenalkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.
“Daripada 72 parti itu, 41 adalah di Semenanjung, manakala bakinya berpangkalan di Sabah dan Sarawak,” katanya, sambil menegaskan bahawa ROS tidak campur tangan dalam soal perlembagaan dan keputusan parti selalunya adalah muktamad.
Pada masa sama, katanya, ada juga parti dibatalkan pendaftarannya oleh ROS sebelum ini atas kesalahan tertentu, antaranya tidak menghantar penyata tahunan atau berlaku pertikaian di antara anggota, namun dibenarkan beroperasi semula selepas rayuannya diterima.
Beliau berkata antaranya membabitkan Parti Rakyat India Malaysia (Mipp) dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Mipp ialah rakan komponen dalam gabungan pembangkang, PN.
“
“Kita tidak boleh sekat individu atau masyarakat membuat persatuan atau menubuhkan parti politik mengikut 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan... hanya ada satu dua parti saja yang dikesan tidak bertanding pada pilihan raya. Secara keseluruhannya, trend dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini menunjukkan peningkatan yang sederhana dan terkawal.
