9 jam tertinggal dalam kereta, budak 2 tahun maut di Seremban
9 jam tertinggal dalam kereta, budak 2 tahun maut di Seremban
SEREMBAN (Negeri Sembilan): Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan maut selepas kira-kira sembilan jam terperangkap di dalam kereta di Jalan Tunku Hassan, dekat Seremban, Negeri Sembilan, pada petang 27 Januari.
Ketua Polis Daerah Seremban, Penolong Pesuruhjaya Azahar Abdul Rahim, mengesahkan pihaknya menerima panggilan MERS 999 sekitar 6.15 petang, mengenai insiden tragis itu.
“Siasatan awal mendapati mangsa tidak sedarkan diri di dalam kereta, dipercayai ditinggalkan oleh ibunya, seorang pekerja bank berusia 35 tahun, sejak 8 pagi.
“Ibu mangsa dikatakan terlupa menghantar anaknya ke tempat pengasuh dan kejadian hanya disedari kira-kira 5 petang selepas ibu mangsa selesai bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.
Encik Azahar berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sebelum dihantar ke Hospital Rembau, Negeri Sembilan, untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan ibu kepada mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang pekerja kedai pakaian berhampiran tempat kejadian berkata, beliau bergegas keluar selepas mendengar jeritan seorang wanita di belakang premis.
“Saya dan rakan segera melihat apa yang berlaku dan dimaklumkan terdapat kanak-kanak yang tidak sedarkan diri dalam kereta.
“Ada yang cakap ibu kanak-kanak itu bekerja di sebuah bank dan terlupa anaknya tertinggal di dalam kenderaan. Wanita itu terkejut dan sedih,” katanya.
Encik Azahar menggesa orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan.

