Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan ekstremis masih wujud, berkembang di M’sia

Menteri tegaskan Polis Diraja Malaysia berupaya patahkan elemen ekstremis yang masih wujud dalam negara
Sep 3, 2024 | 12:21 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto FACEBOOK SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia mendedahkan terdapat petunjuk bahawa kegiatan ekstremis masih wujud dan sedang meningkat di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun menegaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkeupayaan tinggi untuk mematahkan elemen ekstremis yang masih wujud dalam negara.

“Apa pun keadaannya, yang paling penting ialah saya memberi jaminan bahawa pasukan polis berkemampuan untuk mengawalnya,” katanya pada sidang media, selepas menghadiri majlis penutup Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024, di Putrajaya, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, dalam ucapannya pada persidangan itu, Datuk Saifuddin mendedahkan masih terdapat beberapa kumpulan di Malaysia yang percaya bahawa selagi kerajaan tidak mengamalkan fahaman Islam, kerajaan itu perlu ditentang.

“Ketua Polis Negara kerap memberikan input hampir setiap minggu mengenai apa yang berlaku di lapangan.

“Jangan ingat kes (serangan Balai Polis) Ulu Tiram (Johor) itu kes terpencil, jangan anggap (mudah) tangkapan beberapa elemen Daesh, daripada pensyarah universiti hingga suri rumah serta pekerja sektor binaan… (elemen ekstremis) masih lagi berkembang, masih lagi wujud,” katanya.

Datuk Saifuddin berkata Malaysia tidak boleh mengikut acuan negara lain dalam meletakkan keutamaan menangani ancaman keselamatan dan ketenteraman awam.

Ujar beliau setiap negara walaupun negara berjiran mempunyai keutamaan yang berbeza dalam mentakrif ancaman keselamatan negara masing-masing.

Katanya, Malaysia juga perlu melakukan perkara sama supaya seluruh kekuatan dan sumber dapat difokuskan dalam mengukur pencapaian seterusnya melaksanakan dasar baru bagi menjaga ketenteraman awam.

“Dalam pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat beberapa bulan lalu, mereka menyatakan pengganasan dan kewangan berkaitan pengganasan menjadi keutamaan mereka. Rakan sejawat di China pula mengatakan, keutamaan mereka adalah berkaitan penipuan kewangan.

“Apabila saya berjumpa pegawai dari Asia Barat, keutamaan mereka berkaitan pengganasan dan kewangan berkaitan pengganasan, manakala rakan sejawat Singapura pula mengatakan mengenai penipuan, jenayah penipuan siber, penyeludupan dadah dan pengganasan,” katanya.

Persidangan Keselamatan Dalam Negara 2024 juga bersetuju meletakkan jenayah penyeludupan serta penyalahgunaan dadah masih memberi implikasi utama dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara.

“Jangan ingat kes (serangan Balai Polis) Ulu Tiram (Johor) itu kes terpencil, jangan anggap (mudah) tangkapan beberapa elemen Daesh, daripada pensyarah universiti hingga suri rumah serta pekerja sektor binaan… (elemen ekstremis) masih lagi berkembang, masih lagi wujud.”
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri Malaysia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg