Absolut Bazaar, festival Raya terbesar di KL tarik jutaan pengunjung
Absolut Bazaar, festival Raya terbesar di KL tarik jutaan pengunjung
Sekitar 15% vendor merupakan peniaga S’pura, negara kelahiran Pengarah Absolut Bazaar
Dalam membuat persiapan sambutan perayaan Aidilfitri, selain pusat beli-belah dan bazar Raya tetap seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India, Kuala Lumpur, satu lagi pusat tumpuan yang menarik kehadiran jutaan pengunjung di ibu kota ialah festival Raya.
Di Malaysia, Absolut Bazaar Gaya Raya (ABGR), kini merupakan satu festival Raya terbesar dan paling berpengaruh, diiktiraf oleh Malaysia Book Of Records.
Penganjuran kali kelima itu kian menambat hati masyarakat tempatan dan luar negara.
Absolut Bazar (AB) ialah perniagaan hasil usaha sama pelakon kelahiran Singapura, Cik Nadiyah Shahab, dengan suaminya yang juga bekas pelakon, Encik Ben Ali, yang turut memegang jawatan Pengarah AB.
Menurut Cik Nadiyah yang juga Pengarah AB, festival ABGR telah menjadi antara pentas pengembangan perniagaan buat usahawan Malaysia dan Singapura.
Rekod menunjukkan lebih dua juta pengunjung membanjiri Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur, pada Mac 2025.
“Pengunjung bukan hanya dari seluruh Malaysia, malah dari serata dunia terutama negara jiran Singapura, Brunei dan Indonesia yang menyumbang jumlah terbesar.
“Kami juga amat berbangga dapat menjadi wadah untuk usahawan tempatan meluaskan empayar perniagaan,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di Mitec.
LUAS PENGARUH
Bermula hanya bertumpu di Kuala Lumpur, sejak 2025 ABGR melebarkan sayap ke luar negara dengan Singapura menjadi persinggahan pertamanya.
Menurut Cik Nadiyah, bagi 2026, ABGR anjuran Absolut Events Management bersama My Events sekali lagi mencipta sejarah apabila menjelajah ke tiga destinasi baharu untuk Raya kali ini iaitu Pulau Pinang dan Brunei.
Lebih menarik, AB turut dijadual dibawa ke London pada Mei depan.
Bagaimanapun, jelas Cik Nadiyah, penganjuran di sana bukan bazar Raya, sebaliknya sebuah pameran fesyen dan kosmetik yang bertujuan memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat Britain.
Meskipun ABGR telah singgah di Singapura pada 2025 dan 2026, penganjurannya di Kuala Lumpur tetap memukau, menarik kunjungan warga republik itu yang sanggup meredah perjalanan beratus kilometer demi membeli-belah persiapan Aidilfitri.
Malah, kira-kira 15 peratus vendor di ABGR Kuala Lumpur juga datang dari Singapura, ujar pelakon drama, Lafazkan Kalimah Cintamu, bersama Farid Kamil dan Nelydia Senrose itu.
Menurut Cik Nadiyah pengunjung dari Singapura masih memilih untuk datang ke ABGR Kuala Lumpur kerana skalanya jauh lebih besar.
Ini termasuk penyertaan vendor yang ramai, penglibatan artis, dan pilihan produk yang pelbagai.
“Untuk ABGR 2026 di Kuala Lumpur, kami menampilkan hampir 800 vendor berbanding sekitar 400 vendor di Singapura, termasuk kehadiran lebih 80 artis yang membawa pelbagai produk jualan mereka.
“Tambahan pula, kadar tukaran mata wang turut menjadi daya penarik utama, menyebabkan ramai pengunjung Singapura memilih ABGR Kuala Lumpur kerana harga yang lebih berpatutan.
“Suasana ABGR Kuala Lumpur juga lebih meriah dan dibuka selama 66 jam tanpa henti (dari 12 tengah hari pada 13 Mac hingga 6 pagi 16 Mac), manakala di Singapura hanya sehingga 2 pagi,” katanya.
Antara artis yang memeriahkan jualan di ABGR ialah biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza; pasangan suami isteri sensasi, Fattah Amin dan Amira Othman; Fasha Sandha; Bella Astilah; Mira Filzah; Erysha Emyra dan Merqeen.
Melihat pencapaian ABGR yang kian mendapat kepercayaan ramai, sehingga berjaya merekodkan jualan melebihi RM40 juta ($12.99 juta) pada 2025, Cik Nadiyah berkata pihaknya merancang membawa AB ke pasaran baharu.
Ini termasuk ke Indonesia bagi penganjuran bazar Raya, serta meneroka pasaran di Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada masa hadapan.
KEMBANG SAYAP NIAGA
Sementara itu, usahawan, termasuk dari Singapura, mengakui ABGR ialah wadah berharga untuk memperkenalkan jenama perniagaan mereka secara meluas.
Mereka amat teruja dengan sambutan pengunjung yang luar biasa sejak kali pertama menyertai pesta Raya itu.
Jenama beg tangan dan kosmetik wanita dari Singapura, Yumi Basics, meluahkan rasa teruja menyertai ABGR di Kuala Lumpur buat kali pertama.
Keputusan tersebut dibuat selepas jenama itu berpuas hati dengan sambutan hangat pelanggan pada penganjuran ABGR di Singapura.
Penyelia Operasi Yumi Basics, Cik Siti Zubaidah Omar, memuji ABGR yang giat mempromosikan jenama peserta, lantas membuka jalan pemasaran yang lebih luas, termasuk di media sosial, merentasi sempadan negara.
“Sejak 2025 kita sertai ABGR di Singapura, malah kami turut mengambil bahagian dalam ABGR Singapura 2026 baru-baru ini. Jadi mengapa tidak tahun ini (2026) kita cuba masuk acara di Kuala Lumpur juga.
“Alhamdulillah kami sangat teruja dan gembira dengan sambutan pelanggan di sini. Ini langkah strategik menguasai pasaran di Malaysia khususnya Kuala Lumpur. Sambutan pelanggan sangat mengujakan dan kami amat bersyukur,” katanya kepada BH.
Satu lagi vendor dari Singapura yang memeriahkan ABGR di Kuala Lumpur ialah Qayla Insyirah, jenama tudung dalam talian.
Penyelia Qayla Insyirah, Cik Jannah Isa, berkata penyertaan mereka ke ABGR Kuala Lumpur, bertujuan menimba ilmu dan kemahiran perniagaan daripada usahawan Malaysia, sebagai bekal mengembangkan jenama mereka.
“Pemilik jenama ini, Cik Qayla Insyirah, lebih kepada mahu mencari pengalaman yang akhirnya boleh kami gunakan untuk perniagaan ini.
“Ketika di ABGR Singapura, kami sudah dapat aura yang menyeronokkan untuk perniagaan ini, jadi kami teruskan di Kuala Lumpur pula,” katanya.
Jenama popular biskut, coklat, dan manisan Malaysia, NIMS, melalui kakitangannya Cik Nuriliya Firzanah Mohamad Faizal, menyatakan kepuasan atas peningkatan perniagaan mereka hasil penyertaan setia dalam ABGR sejak mula pada 2022 hingga kali kelima pada 2026.
“Kami amat menyukai suasana di ABGR. Tahun ini (2026) lebih meriah dengan vendor berlumba-lumba menghasilkan reruai paling menarik, tidak seperti tahun lalu (2025).
“Selain itu, kehadiran ramai pelanggan sangat membantu pengembangan perniagaan kami,” katanya.
Untuk ABGR 2026, NIMS membawa tujuh produk Raya, meningkat daripada hanya dua pada 2025.
Ia termasuk aneka kuih Raya dan perkenalan produk baharu berperisa matcha.
“Sasaran kami di ABGR 2026 adalah mencapai 4,000 pelanggan, dengan anggaran hasil jualan RM1.5 juta sepanjang tiga hari penganjuran.
“Pada 2025, kami berjaya mencapai sasaran jualan RM1.3 juta sepanjang tiga hari ABGR,” tambahnya.
PENYERTAAN SULUNG
Pemilik jenama Gals yang menjual beg tangan dan kasut wanita, Cik Qisstina Yazid, 30 tahun, buat pertama kali menyertai ABGR.
Harapannya, memperkenalkan produknya yang masih baharu di pasaran kepada khalayak.
“Kami putuskan untuk sertai ABGR pada 2026. Kami yakin dengan ‘hype’ festival ini untuk mempromosikan Gals.
“Kami baru setahun lebih di pasaran, jadi matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan kesedaran jenama,” katanya.
Seorang lagi usahawan minyak wangi jenama Raja Perfume, Cik Mawar Zakaria, memberitahu ini penyertaan kali kedua beliau dalam ABGR.
“Pada 2025, saya hanya ambil satu gerai jual baju Raya. Tahun ini (2026), kami ambil dua gerai untuk minyak wangi dan baju Raya.
“Saya amat berpuas hati berniaga di ABGR, semua jualan habis dibeli pelanggan sepanjang tiga hari festival ini,” katanya.
Sementara itu, Encik Adam Hamdan Ali, 36 tahun, pengunjung ABGR, berkata beliau datang setiap tahun untuk membeli kelengkapan Raya seisi keluarga kerana tertarik dengan suasana, pilihan yang pelbagai, dan kemudahan yang selesa.
“Membeli-belah di sini ada pendingin hawa, jadi kurang tertekan, apatah lagi untuk kawal tiga anak kecil.
“ABGR memang pilihan saya setiap tahun. Pilihan menarik, tempat makan dan solat pun senang,” katanya yang berbelanja lebih RM1,000 di ABGR.

