Kuih Raya dari penjara M’sia catat jualan RM1j dua tahun berturut-turut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kuih Raya dari penjara M’sia catat jualan RM1j dua tahun berturut-turut

Mar 11, 2026 | 5:34 PM

Kuih Raya dari penjara M’sia catat jualan RM1j dua tahun berturut-turut

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kuih raya, penjara Malaysia, jualan rekod, sejuta
Timbalan Pengarah Bahagian Korektif (Seksyen Vokasional & Industri), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Hamid Taha (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada pelanggan, Cik Siti Hawa Zubir, (tiga dari kiri) dan suaminya, Encik Mohd Affendy Yaacob, (tiga dari kanan) yang menyumbang kepada nilai jualan RM1 juta untuk produk kuih Raya dari penjara. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Kuih Raya yang dihasilkan penghuni penjara di Malaysia terus mendapat sambutan apabila jualannya di Galeri Produk My Pride, di Penjara Kajang, Selangor, mencatatkan jualan lebih RM1 juta ($320,000) buat tahun kedua berturut-turut, dengan jumlah itu dijangka meningkat menjelang penghujung Ramadan. 

Timbalan Pengarah Bahagian Korektif (Seksyen Vokasional & Industri), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Hamid Taha, berkata jualan kuih Raya di Galeri Produk My Pride, sudah melepasi RM1 juta pada 10 Mac, sekali gus menyamai pencapaian pada 2025.

Timbalan Pengarah Bahagian Korektif (Seksyen Vokasional & Industri), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Hamid Taha.
Timbalan Pengarah Bahagian Korektif (Seksyen Vokasional & Industri), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Timbalan Komisioner Penjara Hamid Taha. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Beliau berkata peningkatan jualan kuih Raya dengan jenama My Pride itu, didorong permintaan tinggi daripada orang ramai serta peranan media sosial yang membantu memperkenalkan produk berkenaan kepada masyarakat.

“Pada 2024, jualan hanya sekitar RM800,000, namun pada 2025 ia meningkat kepada RM1 juta selepas produk hasil air tangan penghuni penjara ini tular di media sosial.

“Malah, produk ini bukan hanya mendapat permintaan daripada pembeli dalam negara, tetapi juga daripada negara jiran termasuk Singapura dan Brunei,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH) di galeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Encik Hamid berkata kuih Raya berkenaan dihasilkan oleh banduan – yang juga disebut sebagai prospek – yang dilatih oleh kakitangan penjara melalui program kemahiran, sebagai persediaan sebelum kembali ke masyarakat selepas dibebaskan dari penjara.

Beliau berkata setakat ini, terdapat tujuh institusi penjara di seluruh Malaysia yang terlibat dalam penghasilan kuih Raya itu yang dimulakan sejak 2021, termasuk antaranya di Kelantan, Perak, Selangor dan Melaka.

“Secara keseluruhan, lebih 100 jenis biskut Raya dihasilkan oleh semua institusi penjara ini, manakala sekitar 40 jenis dijual di Galeri Produk My Pride. Selebihnya turut dijual di institusi penjara di negeri-negeri terbabit.

“Antara yang paling mendapat permintaan tinggi ialah tart nanas, biskut badam, rainbow delight, arab melting dan swiss nutella dengan harga bermula serendah RM20 hingga RM28 sebekas.

“Seawal minggu pertama Ramadan lagi, orang ramai sudah mula mencari kuih Raya penjara ini kerana daripada maklum balas yang kita terima, mereka berpuas hati dengan harga dan mutu produk yang dijual,” katanya.

Orang ramai memilih biskut Raya yang dijual di Penjara Kajang, Selangor.
Orang ramai memilih biskut Raya yang dijual di Penjara Kajang, Selangor. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Menurut Encik Hamid lagi, hasil jualan produk berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun amanah sebelum digunakan semula bagi tujuan pembangunan dan latihan kemahiran prospek.

Melihat sambutan yang amat menggalakkan, pihaknya juga bercadang memperluaskan lagi bengkel latihan dan penghasilan produk berkenaan di institusi penjara pada masa depan.

Sementara itu, pelanggan yang menyumbang kepada nilai jualan ke RM1 juta itu, Cik Siti Hawa Zubir, 44 tahun, berkata beliau mula membeli produk kuih Raya penjara itu sejak 2025, dan untuk 2026, beliau sudah dua kali ke galeri berkenaan untuk mendapatkan kuih Raya dan produk sejuk beku.

“Pada awal Ramadan lalu, saya sudah beli lebih RM300 kuih Raya, dan hari ini, saya datang lagi selepas melihat kakitangan penjara membuat promosi di TikTok.

“Selain kuih Raya, kami amat gemarkan karipap kambing sejuk beku di sini yang memang sangat sedap.

“Hari ini saya berbelanja lebih RM200 di sini dan tak sangka pula saya pembeli yang mencatatkan jualan RM1 juta itu, kata pegawai bank dari Sungai Besi, Kuala Lumpur itu, yang turut menerima hamper Raya daripada pihak penjara.

Cik Rohayu Abd Hamid (kanan) bersama rakannya teruja membeli kuih Raya dari penjara di Galeri Produk My Pride, di Penjara Kajang, Selangor.
Cik Rohayu Abd Hamid (kanan) bersama rakannya teruja membeli kuih Raya dari penjara di Galeri Produk My Pride, di Penjara Kajang, Selangor. - Foto BH oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Seorang lagi pelanggan, Cik Rohayu Abd Hamid, yang teruja kali pertama datang ke galeri berkenaan berkata beliau tidak menyangka jualan produk penjara itu begitu meriah dan banyak pilihan.

“Tak sangka ia menarik dengan macam-macam jualan produk dari penjara. Meriah macam bazar.

“Selain kuih Raya saya beli karipap sejuk beku sardin dan ayam juga.

“Harganya murah berbanding di luar,” katanya yang ditemui BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg