Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Aidilfitri tiada makna buat golongan gelandangan di KL

Dilaporkan terdapat sekitar 7,000 gelandangan di sekitar ibu kota
Apr 20, 2025 | 5:30 AM
Pakaian dan makanan antara keperluan paling banyak disumbangkan kepada kumpulan gelandangan di Kuala Lumpur.
Pakaian dan makanan antara keperluan paling banyak disumbangkan kepada kumpulan gelandangan di Kuala Lumpur. - Foto BM oleh HANNEEYZAH BAHARIN

Di saat insan lain meraikan Aidilfitri dengan berpakaian baru, menikmati aneka juadah yang terhidang di atas meja dan gelak ketawa bersama keluarga, ada segelintir golongan kurang bernasib baik yang hanya mampu menanti sumbangan dan ihsan orang lain untuk merasai sedikit kemanisan Syawal.

Digelar sebagai gelandangan, mereka semua mempunyai kisah tersendiri, namun rata-ratanya berdepan desakan hidup yang membuatkan Ramadan dan Syawal bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, bahkan ujian dalam memenuhi keperluan asas hidup, apatah lagi ketika keadaan ekonomi tidak menentu kebelakangan ini.

Tinjauan Berita Minggu (BM) di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur menjelang Aidilfitri baru-baru ini mendapati beberapa kawasan ‘meriah’ sebagai tumpuan kumpulan gelandangan, tidak kira yang bujang mahupun berkeluarga dengan deretan anak kecil turut sama kelihatan.

Antara kawasan di tengah Kuala Lumpur yang dilihat menjadi tempat ‘berkumpul’ gelandangan ialah di Puduraya, Chow Kit dan berhampiran Masjid Negara.

BM berpeluang bertemu dengan kumpulan gelandangan ini dan rasa hiba menerjah setiap kali mendengar luahan dan kisah di sebalik tabir kehidupan golongan ini.

Menurut seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Baby dan digelar sebagai ‘kakak kawasan’ oleh kumpulan gelandangan di Chow Kit, terdapat dua golongan kumpulan itu yang sering berkeliaran di Kuala Lumpur demi meneruskan kelangsungan hidup dengan mengharapkan ihsan orang lain.

Katanya, kategori pertama ialah individu bujang dan warga emas dengan kebanyakan mereka tiada tempat tinggal, manakala satu kumpulan lagi ialah mereka yang berkeluarga, namun dipanggil sebagai ‘sahabat jalanan’.

“Kebanyakan sahabat jalanan mempunyai rumah yang disewa, tetapi akan datang ke Chow Kit untuk mendapatkan sumbangan. Biasanya saya akan urus agihan sumbangan supaya teratur.

“Di sini meriah dengan sumbangan makanan dan ada penyumbang beri pakaian, barangan penjagaan diri serta keperluan asas. Kalau ditanya pada saya, bermacam kisah sedih golongan ini, tetapi apa boleh buat – ini ujian hidup mereka,” kata ibu sembilan anak ini yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin di Kuala Lumpur.

Bagi Kak Mas, 40-an tahun yang ‘berhijrah’ ke Kuala Lumpur dari Sabah, Chow Kit menjadi tempat wajib berkumpul buatnya bersama enam anak kecil, untuk mendapatkan makanan bagi mengisi perut dan keperluan lain yang boleh meringankan beban kewangan keluarganya.

“Lazimnya pada Ramadan kawasan ini akan meriah dengan kehadiran penyumbang yang beri macam-macam termasuk untuk persediaan menyambut Hari Raya. Jika orang lain beli baju baru untuk dipakaikan pada anak di pagi Raya, anak-anak saya cuma berpeluang gayakan baju terpakai yang disumbangkan orang ramai.

“Itupun kami sudah cukup bersyukur. Biasanya saya akan bawa anak-anak ke sini selepas waktu isyak kerana ketika itu ramai penyumbang datang. Dengan pendapatan suami yang kais pagi makan pagi tak mampu tampung hidup. Alhamdulillah di sini kami dapat makanan percuma, bolehlah mengenyangkan perut anak-anak.

“Jika orang lain terhidang rendang, ketupat dan lemang di pagi Syawal, bagi kami adakalanya makan biskut saja kerana hendak beli daging pun berkira-kira. Jika bernasib baik dapatlah makanan berat seperti nasi minyak yang disedekahkan penyumbang di Hari Raya,” katanya yang menyewa bilik kecil di Lorong Haji Taib.

Kongsi Kak Mas, beliau dan suaminya datang ke Kuala Lumpur membawa keluarga beberapa tahun lalu berikutan seorang anaknya perlu menjalani pembedahan penyakitnya di Hospital Kuala Lumpur, namun kerana kekangan kewangan, mereka tidak dapat pulang semula ke Sabah, dan ‘terkandas’ di ibu kota itu.

Bagi gelandangan, Mat Jan, 40-an tahun, yang ditemui BM di jejantas dekat Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, laluan bersimen di situ menjadi tempat tidurnya beralaskan helaian kotak sebagai tilam dan kain pelekat sebagai selimut.

“Saya pernah masuk penjara kerana kesalahan dadah. Apabila keluar penjara, ibu bapa saya sudah meninggal dunia dan adik beradik tak mahu terima saya lagi. Saya tiada pilihan dan menjadi gelandangan dengan meneruskan hidup atas ihsan dan simpati orang lain.

“Pagi Raya pun saya hanya termenung di sini seorang diri. Aidilfitri tiada makna lagi buat saya. Sekarang saya hanya mampu kerja kutip dan jual tin kosong untuk mendapatkan sedikit wang,” katanya.

Nasib golongan gelandangan memang mendapat perhatian ramai, termasuk pelakon remaja, Puteri Balqis, yang memilih meraikan Aidilfitri bersama kumpulan kurang bernasib baik itu di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi artis berusia 17 tahun itu, rutin menyantuni gelandangan sudah menjadi kebiasaan bagi beliau dan ibunya, Cik Norashikin Mohd Aziz, setiap kali menjelang Aidilfitri sejak beberapa tahun lalu.

“Kadang-kadang saya dan ibu akan beraya dengan gelandangan di sekitar ibu negara. Sambutan Aidilfitri kami berbeza daripada orang lain, dan kami lebih kepada pengalaman sebegitu.

“Kami akan berbual sebab mereka seperti tiada tempat untuk bercerita. Banyak cerita yang saya dapat antaranya ada yang dibuang keluarga, ada yang sudah kahwin tetapi berakhir di situ lalu tersisih hingga menjadi gelandangan,” kata Balqis.

Dilaporkan terdapat sekitar 7,000 gelandangan di sekitar Kuala Lumpur setakat ini. 

Kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan ini termasuk menyediakan penginapan sementara yang dipanggil Anjung Singgah di beberapa bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Sarawak, selain bantuan lain.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg