Topik diikuti
Pergi ke BHkuAirBorneo mula penerbangan sulung Kuching-S’pura pada 22 Jul
AirBorneo mula penerbangan sulung Kuching-S’pura pada 22 Jul
Tambang tetap RM399 bagi 6 bulan pertama
AirBorneo mula penerbangan sulung Kuching-S’pura pada 22 Jul
SEPANG: AirBorneo Airways (AirBorneo), syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak akan memulakan penerbangan sulung bagi laluan Kuching-Singapura pada 22 Julai, bersempena sambutan Hari Sarawak.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata dalam tempoh enam bulan pertama operasinya, AirBorneo akan memberi tumpuan kepada penyediaan tambang mampu milik menerusi tambang tetap RM399 ($125.65) bagi laluan Kuching-Singapura, dan RM375 bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur.
Beliau berkata syarikat itu akan memperluaskan operasinya ke beberapa destinasi di seluruh Asean, sambil terus mengekalkan tanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah.
Kota Jakarta di Indonesia akan menjadi destinasi berikutnya dalam tempoh dua bulan lagi.
“AirBorneo merancang untuk memperluaskan rangkaian penerbangannya ke bandar lain di Asean bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dan perhubungan antara rakyat di rantau tersebut.
“Hasrat AirBorneo ialah menyediakan perkhidmatan antara bandar dalam Asean, sekali gus mengukuhkan hubungan ekonomi antara negara anggota Asean, khususnya Indonesia, Singapura dan negara yang berjiran dengan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Kuala Lumpur pada 20 Julai, lapor laman web Astro Awani.
Menurut Tan Sri Abang Johari, pengambilalihan MASwings oleh Kerajaan Sarawak membolehkan AirBorneo meneruskan perkhidmatan udara luar bandar ke kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah, selain mengembangkan operasinya sebagai syarikat penerbangan komersial di kededua negeri itu.
“Kami berharap AirBorneo akan ‘terbang’ seperti (burung) Kenyalang, ke mana sahaja kami pergi,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyambut ketibaan penerbangan sulung AirBorneo dari Kuching ke Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, Selangor.
Penerbangan MY5005 itu membawa Tan Sri Abang Johari bersama barisan menteri negeri Sarawak serta tetamu kenamaan.
Sementara itu, Tan Sri Abang Johari berkata kerajaan negeri menghargai persetujuan yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan bagi membolehkan AirBorneo mengembangkan operasinya ke luar Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata laluan Kuching-Kuala Lumpur menjadi permulaan perjalanan AirBorneo sebagai syarikat penerbangan komersial dan menyifatkannya sebagai hadiah kepada rakyat Sarawak serta Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Sarawak.
Tambahnya, AirBorneo juga berusaha untuk menstabilkan tambang penerbangan antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak supaya lebih mampu milik, sekali gus memudahkan perjalanan pelajar yang melanjutkan pengajian di kededua wilayah serta keluarga mereka.
Selain itu, beliau berkata AirBorneo juga merancang meneroka laluan ke Asia Timur dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, manakala perkhidmatan udara luar bandar akan diteruskan sebagai tanggungjawab syarikat, sementara laluan lain dikendalikan secara komersial.
