Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak sulung pengasas Al-Arqam didakwa dipaksa kahwin, dikurung

Oct 21, 2024 | 12:46 PM
Cik Ummu Atiyah, 41 tahun (dalam gambar), anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, dibawa polis ke lokasi beliau didakwa dikurung di Kampung Batu Hampar Dalam, Beruas, Perak, iaitu perkampungan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH).
Cik Ummu Atiyah, 41 tahun (dalam gambar), anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, dibawa polis ke lokasi beliau didakwa dikurung di Kampung Batu Hampar Dalam, Beruas, Perak, iaitu perkampungan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH). - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas mendakwa terpaksa melalui episod hitam apabila dipaksa berkahwin dengan pemimpin atasan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) selain dikurung, anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad, dibawa polis ke perkampungan GISBH di Kampung Batu Hampar Dalam, Beruas, Perak.

Cik Ummu Atiyah, 41 tahun, dibawa ke perkampungan itu pada 20 Oktober, iaitu lokasi beliau mendakwa dikurung kira-kira sebulan.

Wanita itu sebelum ini mendakwa dikhianati adik kandung dan dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin atasan GISBH sehingga mengalami penderaan mental dan fizikal.

Malah beliau dalam satu sidang media pada 18 Oktober turut mendedahkan pernah menjadi mangsa keganasan serta dirogol oleh seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa pada 2015, bertujuan memperkukuhkan organisasi sesat itu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang selesai merakam keterangan Cik Ummu Atiyah pada 20 Oktober menjelaskan pengadu menyatakan tidak berlaku sebarang kejadian rogol, cabul atau kecederaan fizikal semasa dikurung.

“Dia (Ummu Atiyah) juga mendakwa cuba melarikan diri, namun ditangkap dan dikurung semula,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

Perkampungan GISBH di Kampung Batu Hampar Dalam itu dilaporkan sudah ditutup sejak September lalu. Laluan masuk ke kawasan perkampungan berkenaan dipasang garisan kuning polis sepanjang kira-kira 50 meter.

Selain itu, turut ditemui memo rasmi Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) bertarikh 27 September lalu di papan tanda utama perkampungan itu yang mengarahkan penutupan operasi maahad (madrasah) kerana didapati melanggar undang-undang, susulan belum berdaftar dengan JAIPk.

Selain maahad, perkampungan berkeluasan 4.8 hektar itu turut memuatkan kedai runcit, kedai makan, pejabat, beberapa rumah kediaman kakitangan, tasik kecil dan kawasan peliharaan haiwan seperti bangsal kuda dan sangkar arnab.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mendedahkan terdapat lebih 40 kumpulan ajaran sesat di Selangor dalam pemantauan untuk tindakan penguatkuasaan.

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya berdepan cabaran hebat dalam usaha mengendalikan kumpulan ajaran sesat terbabit kerana mereka mempunyai kepercayaan yang berbeza-beza.

“Bahagian dakwah kita perlu merancang dengan amat teliti bagaimana cara untuk membetul atau memulihkan mereka sebab kepercayaan mereka begitu mendalam terutama GISBH berkait tarikat Muhammadiah.

“(Seperti GISBH)... bukan senang kerana pengikut mereka ramai. Sekarang mereka tidak pakai uniform, kita tidak tahu siapa. Mengikut fatwa, mereka mesti bertaubat,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg