PETALING JAYA: Ahli dan pengikut kumpulan perniagaan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) berkemungkinan tidak akan menyertai program pemulihan yang dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa restu daripada kepimpinan tertinggi kumpulan berkenaan.
Mendedahkan perkara itu, peguam yang mewakili GISBH, Encik Rosli Kamaruddin, berkata meskipun kumpulan itu mengalu-alukan daya usaha tersebut, pengikutnya masih ragu-ragu untuk menyertai program sukarela berkenaan.
Menurutnya, mereka tidak tahu bagaimana untuk menjawab tawaran itu, terutama kerana pemimpin tertinggi masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
“Ketika program serupa diperkenalkan semasa era Allahyarham Ashaari Muhammad sebagai pengasas Al-Arqam, beliau sendiri memberikan arahan supaya komuniti itu meninggalkan ajaran sesat dan kembali ke jalan yang benar.
“Tetapi hari ini tiada pemimpin memberi arahan sebegitu,” katanya, lapor portal berita Free Malaysia Today.
Gerakan Al-Arqam, yang pernah menarik ribuan pengikut antara 1970-an dengan 1990-an, diharamkan kerajaan Malaysia pada 1994 kerana didapati menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.
Encik Rosli berkata sebahagian pengikut GISBH pula tidak berminat menyertai program itu kerana menganggap kepercayaan dan amalan mereka tidak menyimpang.
Baru-baru ini, empat negeri iaitu Melaka, Perlis, Pahang, dan Selangor mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH bertentangan Islam dan sesat serta masih berlandaskan ajaran Al-Arqam.
“Keadaan akan berbeza jika Ketua Eksekutif dan ahli lembaga pengarah GISBH dapat menasihati pengikut untuk menyertai program pemulihan, tetapi malangnya mereka masih di bawah tahanan Sosma,” kata Encik Rosli.
Beliau berkata pengikut GISBH juga ingin tahu sama ada akan dibayar elaun sepanjang program, memandangkan mereka kehilangan mata pencarian selepas pihak berkuasa merampas premis perniagaan dan aset lain.
“Mereka kini berdepan kesulitan untuk menyara keluarga. Bagaimana mereka akan menanggung keluarga jika menyertai program selama tiga bulan ini? Adakah kerajaan akan memberikan elaun? Jika ya, berapa jumlahnya? kata beliau.
Encik Rosli turut menyatakan bahawa butiran program tersebut, termasuk modulnya masih belum jelas.
Pada 14 Oktober, MKN menawarkan program pemulihan secara sukarela kepada ahli GISBH yang masih bebas di Malaysia untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Timbalan Ketua Pengarah MKN, Datuk Baharuddin Ahmad, mengalu-alukan ahli organisasi itu tanpa mengira usia dan jantina, agar mendaftar bagi program tiga bulan yang dibuka hingga 14 November.
Datuk Baharuddin berkata pihaknya akan memastikan peserta tidak diasingkan daripada keluarga masing-masing sepanjang menjalani program itu, serta akan disediakan makanan, kelengkapan dan tempat tinggal selesa secara percuma.
Pada hari sama, anak perempuan Allahyarham Ashaari, Khaulah Ashaari, menafikan dakwaan GISBH mengamalkan amalan bertentangan ajaran Islam, dan berkata mereka sudah bertaubat serta tidak lagi mengamalkan ajaran Al-Arqam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg