Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenyataan Menteri: Pengikut Global Ikhwan didoktrin, taasub Abuya dan pemimpin

Kerajaan mula siasat syarikat GISBH di luar negara
Oct 15, 2024 | 7:21 PM
Media tempatan melaporkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) kini lumpuh selepas ibu pejabat kumpulan perniagaan itu di Rawang, Selangor, ditutup sepenuhnya.
Media tempatan melaporkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) kini lumpuh selepas ibu pejabat kumpulan perniagaan itu di Rawang, Selangor, ditutup sepenuhnya. - Foto ST

Tidak hanya terpalit penyelewengan akidah, syariah dan akhlak, tasawuf atau muamalat, pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) juga didoktrin untuk memohon keberkatan bukan lagi kepada Abuya sebagai pengasas ajaran sesat Al-Arqam, malah kepada kepemimpinan seperti Ahli Lembaga Pengarah yang dilantik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata sesi temu bual Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama saksi ketika mereka berada dalam pertubuhan yang membawa imej dan amalan sama, iaitu Al-Arqam, Rufaqa Corporation dan GISBH, membawa kepada pendedahan berkenaan.

“Rata-rata ahli GISBH yakin bahawa pengasas ajaran Aurad Muhamadiah, Syeikh Suhaimi adalah Imam Mahdi. Antara fahaman yang dipegang mereka termasuklah menyakini pengasas kumpulan tersebut (Al-Arqam), Ashaari Muhammad merupakan Pemuda Bani Tamim yang akan menyelamatkan dunia.

“Selain itu semua ahli GISBH yakin akan selamat di alam kubur kerana dibantu syafaat Abuya untuk menjawab soalan malaikat Munkar Nakir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat, pada 15 Oktober.

Pengikut GISBH juga, kata Datuk Mohd Na’im, percaya kepada amalan bertabaruk, iaitu mengharapkan berkat daripada Allah dengan perantara melalui air basuhan tangan, tisu dan kain digunakan pemimpin, air rendaman baju, rambut, janggut dan darah bekam pimpinan serta bekas pimpinan.

Dalam pada itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, mempertahankan tindakan pihak berkuasa melanjutkan tahanan 415 ahli kumpulan perniagaan GISBH mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga telah memulakan beberapa langkah lanjutan terhadap siasatan syarikat GISBH di luar negara.  

Pihaknya telah menghubungi negara-negara luar yang didapati ada premis perniagaan oleh syarikat berkenaan.

Menurut beliau, ia bertujuan melengkapkan siasatan kes yang kompleks membabitkan jumlah ahli yang ramai dan siasatan rapi memakan masa berikutan ia membabitkan beberapa unsur jenayah termasuk eksploitasi, pemerdagangan serta pengubahan wang haram.

“Tak sempat habis (siasat) kerana jumlahnya ramai. Jadi ia sesuai untuk kita gunakan Seksyen 130V Kanun Keseksaan bagi membolehkan selepas tamat tempoh reman, kita gunakan Sosma,” katanya semasa menggulung sesi Kenyataan Menteri itu.

Terdahulu pada sesi perbahasan, beberapa Ahli Parlimen mempertikaikan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan ahli kumpulan GISBH di bawah Sosma, yang disifatkan tindakan tidak cermat, berikutan kumpulan itu bukan sebuah pertubuhan yang dikaitkan dengan unsur keganasan.

Dalam pada itu Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pengumpulan maklumat profil awal terhadap 558 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH mendapati 94.3 peratus kanak-kanak mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung.

Beliau berkata 5.7 peratus lagi tidak mempunyai ibu bapa atau tiada maklumat mengenai ibu bapa mereka.

Beliau berkata penilaian kognitif awal kanak-kanak telah dilakukan ke atas 385 kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas.

Apa yang menyedihkan, 7.79 peratus atau 30 orang daripadanya mengalami kecelaruan kognitif (kemampuan berfikir) yang teruk, manakala 20.26 peratus atau 78 orang menunjukkan masalah kecelaruan kognitif sederhana.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg