Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah jerlus di KL: Operasi mencari kini tumpu di loji kumbahan Indah Water

Pasukan penyelamat dilengkapi tangki oksigen, topeng khas disebabkan terdedah kepada pelbagai risiko
Aug 28, 2024 | 5:37 PM
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi wanita warga India yang terperlus akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India kini tertumpu di stesen pam loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi wanita warga India yang terperlus akibat kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India kini tertumpu di stesen pam loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Usaha mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang selepas terperlus dalam tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur, pada 23 Ogos, diteruskan dengan beberapa anggota SAR yang lengkap dengan alat pernafasan memasuki stesen pam di loji Indah Water Konsortium (IWK) pada 28 Ogos.

Ini selepas pasukan SAR mengalih tumpuan usaha pencarian di loji syarikat pembetungan nasional di Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu bermula 27 Ogos.

Ia lokasi terakhir yang mengumpul sisa kumbahan, termasuk dari saluran tempat pelancong India itu terperosok di Masjid India, dengan jarak lurang kumbahan kira-kira tujuh kilometer.

Pasukan SAR terbabit turut dilengkapi dengan tangki oksigen dan memakai topeng khas disebabkan stesen pam berkenaan berisiko tinggi mengandungi gas berbahaya.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada petunjuk positif mengenai keberadaan mangsa, Cik Vijayaletchumy, 48 tahun, di kawasan loji berkenaan, mahupun di kawasan mangsa terjatuh.

Di Masjid India, anggota Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) meneruskan operasi menggunakan alat pengesan radar menembusi tanah (GPR) di sekitar lokasi kejadian tanah mendap baru yang dilaporkan berlaku kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus pertama pada 23 Ogos.

Pegawai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Penguasa Kanan Bomba I, Encik Alimaddia Bukri, yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa tanah jerlus di Masjid India, sempat berkongsi debaran dan risiko yang dilalui sepanjang operasi SAR yang masuk hari keenam pada 28 Ogos.

Menurut beliau menerusi perkongsian di aplikasi TikTok, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sentiasa terdedah pada bahaya semasa operasi dan penyakit yang memudaratkan.

“Dalam (bawah tanah) ini, ada saliran kumbahan dan saliran lain. Memang dalam juga. Beginilah keadaan sebenar yang kami alami, risiko operasi yang jarang kami tunjuk. Sebab itulah ada ketika kami tidak benarkan petugas ramai masuk ke ground zero kerana bahaya,” katanya.

Menerusi perkongsian video itu juga Encik Alimaddia menunjukkan anggota SAR terpaksa melakukan selaman dalam air sisa kumbahan, dengan penglihatan yang terhad berikutan ruang sempit dan arus deras yang menyukarkan usaha pencarian.

“Kami pun berdebar dan takut juga ketika turun ke bawah tetapi inilah tugas kami dan kami tidak akan berputus asa dan berserah pada Allah,” katanya.

Menurut Encik Alimaddia, anggota SAR yang melakukan selaman di dalam sisa kumbahan terdedah pada risiko penyakit yang boleh memudaratkan dan perlu melakukan proses pembersihan dan nyahjangkit segera bagi mengelak sebarang risiko.

Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Malaysia Hindu Sangam, turut mengunjungi tempat kejadian di Masjid India, dan melakukan ritual keagamaan dipercayai sebagai ikhtiar mencari dan menyelamat pelancong India yang masih hilang ‘ditelan’ lubang benam itu.

Pada 23 Ogos, Cik Vijayaletchumy terperosok ke dalam lubang sedalam lapan meter, selepas tiba-tiba berlaku tanah jerlus di laluan pejalan kaki di Masjid India.

Mangsa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg