Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar: Enggan bubar Parlimen bukan demi pertahan jawatan PM
Anwar: Enggan bubar Parlimen bukan demi pertahan jawatan PM
Perjelas penekanan kini terhadap kestabilan pentadbiran agar kelangsungan ekonomi negara tidak terjejas
Anwar: Enggan bubar Parlimen bukan demi pertahan jawatan PM
SUNGAI PETANI (Kedah): Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyangkal dakwaan kononnya beliau sengaja mengelak daripada membubarkan Parlimen, semata-mata demi mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Beliau, sebaliknya, menegaskan penekanan terhadap kestabilan pentadbiran ketika ini bukan satu propaganda politik untuk berpaut pada kuasa, melainkan demi memastikan kelangsungan ekonomi negara tidak terjejas.
Menurutnya, kestabilan politik menjadi faktor penting yang menyokong prestasi ekonomi semasa, termasuk dalam melonjakkan keyakinan pelabur asing dan domestik ke Malaysia.
“Betul, keadaan ekonomi kita baik sebab politik itu stabil. Kalau hari ini politik berubah jadi haru biru, orang luar tak datang. Orang dalam negara pun kalau dia ada wang, dia tak sanggup nak labur.
“Ini bukan propaganda politik. Tetapi untuk kestabilan. Bukan kata kerana nak jaga kedudukan Perdana Menteri, bukan. Ada pilihan raya, tukar (Perdana Menteri). Saya pun tahu (realiti politik), saya bukan budak,” katanya, lapor laman web, Buletin TV3.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah di Dewan Perdana, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Sungai Petani, Kedah, pada 7 Jun.
Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pengukuhan ringgit ketika ini membuktikan kedudukan ekonomi negara semakin stabil hasil dasar ekonomi yang berkesan.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepimpinan negara supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.
Menurut beliau, pengalaman hidup termasuk melalui pelbagai ujian menjadi pengajaran penting dalam memastikan amanah yang diberikan rakyat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Datuk Anwar, sebelum ini, mendapat tekanan untuk beliau membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri di Johor dan Negeri Sembilan.
Pada 1 Jun, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, telah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor, manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengikut jejak Johor mengumumkan pembubaran DUN negeri itu pada 4 Jun.
Dengan pembubaran tersebut, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia akan menetapkan tarikh pengundian yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN.
Sementara itu dalam satu majlis di Putrajaya pada 8 Jun, Datuk Anwar menegaskan Malaysia mesti terus berpaksikan prinsip masyarakat majmuk seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk politik kebencian berasaskan kaum.
Berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, beliau berkata walaupun landskap politik Malaysia sering diwarnai perbezaan pandangan dan persaingan parti politik, hakikat kepelbagaian kaum dan budaya yang menjadi asas pembentukan negara tidak boleh dipertikaikan.
