Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anwar gesa usaha sejagat tangani isu perkauman, Islamofobia

Dec 11, 2024 | 3:42 PM
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kiri), ketika berucap di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam yang dihadiri lebih 200 wakil dari 32 negara di Kuala Lumpur pada 11 Disember.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kiri), ketika berucap di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam yang dihadiri lebih 200 wakil dari 32 negara di Kuala Lumpur pada 11 Disember. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa supaya usaha secara global yang jitu untuk memupuk nilai kasih sayang, keadilan dan kemanusiaan dalam menangani peningkatan sikap tiada toleransi, perkauman dan Islamofobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu berkenaan menjadi cabaran berterusan yang dihadapi Dunia Islam dan kemanusiaan secara amnya, termasuk tragedi yang berlaku di Gaza dan kebangkitan fasisme (pandangan) politik puak pelampau serta perkauman di pelbagai wilayah.

Berucap di Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Dunia Islam, beliau menekankan bahawa prinsip As-Samud, Rahmah dan Ehsan atau nilai-nilai toleransi, kasih sayang dan kemanusiaan harus menjadi panduan negara Islam dalam menangani cabaran sejagat.

“Kita menyangka bahawa dengan pembangunan, kemajuan dan pengetahuan, akan ada lebih banyak kebijaksanaan dan toleransi. Namun, ini tidak berlaku.

“Ini adalah satu tempoh tragedi yang besar, kita gagal dalam mempertahankan kemanusiaan secara keseluruhan dan terutama dalam kalangan umat Islam.

“Khususnya dari Gaza, dari Eropah yang lalu serta kebangkitan fasisme, perkauman, intoleransi dan tindakan yang merendahkan martabat manusia, kekejaman yang dilakukan terhadap manusia bukan hanya di Palestin dan Gaza khususnya, malah di negara-negara yang lain,” katanya, lapor Buletin TV3.

Datuk Anwar berkata platform seperti mesyuarat Russia-Dunia Islam harus digunakan untuk mempromosikan nilai-nilai itu kepada masyarakat antarabangsa kerana ia bukan saja relevan untuk negara Islam bahkan penting untuk komuniti sejagat.

“Kita mesti bekerjasama untuk menentang kebencian dan ketidaktoleransi serta memupuk dunia di mana kemanusiaan berkembang melalui saling memahami dan menghormati,” katanya.

Pada masa yang sama, Datuk Anwar turut menekankan peranan pemimpin agama dan politik dalam menangani isu terbabit.

Beliau memberi contoh tindakan pantas Malaysia terhadap kejadian ketiadaan toleransi agama tempatan telah memperlihat komitmen negara itu dalam menegakkan martabat semua agama.

Menurut Datuk Anwar, walaupun Malaysia adalah negara majoriti Muslim dan Islam sebagai agama Persekutuan, negara itu menunjukkan bahawa ia mengamalkan dan menegakkan nilai toleransi.

“Pengiktirafan kita bahawa setiap warganegara berhak untuk mengamalkan agama mereka, apa yang diserukan adalah mesej yang konsisten untuk negara-negara lain.

“Kami mengambil semua langkah untuk memastikan umat Islam teguh dalam agama mereka tetapi pada masa sama kami menunjukkan toleransi yang tinggi serta kesabaran dan menghormati martabat lelaki dan wanita daripada semua agama,” jelasnya.

Mesyuarat yang bermula 11 hingga 12 Disember itu dihadiri oleh lebih 200 wakil dari 32 negara, berfungsi sebagai wadah untuk meneroka peluang kerjasama peringkat sejagat sambil menangani isu mendesak yang dihadapi oleh masyarakat Muslim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg