Anwar lantik Tengku Zafrul sebagai Penasihat Kanan Politik
Anwar lantik Tengku Zafrul sebagai Penasihat Kanan Politik
Mantan menteri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 4 Mac 2026.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan itu dipersetujui Datuk Anwar bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
Kenyataan itu juga menyebut Datuk Anwar menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
Tengku Zafrul yang pernah dilantik menjadi Ahli Dewan Negara (Senator) selama dua penggal pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan Malaysia dari 2020 hingga 2022 di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 2022 di bawah pentadbiran Datuk Anwar.
Sebelum menyertai kerajaan, Tengku Zafrul merupakan tokoh korporat terkenal yang pernah menerajui beberapa institusi kewangan utama negara termasuk kumpulan bank CIMB.
Sehari selepas tamat keanggotaan maksimum dua penggal di Dewan Negara pada 2 Disember 2025, Datuk Anwar melantik Tengku Zafrul sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkuat 3 Disember 2025, bagi tempoh dua tahun.
Terdahulu, jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), meletakkan jawatan pada 25 November 2025.
Peletakan jawatan itu dibuat Datuk Shamsul Iskandar atas rasa tanggungjawab dan menjaga nama baik Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar, selepas beliau didakwa terlibat pertuduhan rasuah di mahkamah.
Tengku Zafrul sebelum ini adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan Ketua Umno bahagian Kota Raja (Selangor), namun mengumumkan keluar Umno untuk menyertai PKR pada Mei 2025.
Hasrat Tengku Zafrul itu telah mengeruhkan hubungan Umno yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Timbalan Perdana Menteri dan PKR yang diketuai Datuk Anwar.
Malah, Datuk Anwar turut mengesahkan menerima nota bantahan daripada Umno berhubung kemasukan Tengku Zafrul sebagai bekas ahli parti itu ke dalam PKR.
Bagaimanapun, Tengku Zafrul mendapat restu Datuk Anwar dan sah menyertai PKR pada 8 Ogos 2025.

