Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua menteri PKR letak jawatan nafi khianati parti

May 29, 2025 | 5:36 PM
Mesej palsu yang bertebaran di media sosial kononnya Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bersama sembilan yang lain menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mesej palsu yang bertebaran di media sosial kononnya Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad bersama sembilan yang lain menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto FACEBOOK CHANG LIH KANG

“Kami letak jawatan, (tetapi) kami tidak akan khianat parti”.

Demikian tegas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi menafikan dakwaan sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen (AP) parti itu, termasuk Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan dirinya, akan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan ringkas di platform X, Nik Nazmi menegaskan bahawa beliau dan Datuk Rafizi tidak akan sesekali mengkhianati parti, meskipun mengambil keputusan meletak jawatan sebagai menteri.

Datuk Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Anwar pada 28 Mei.

Keputusan meletak jawatan itu diambil menyusuli kegagalan mereka mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan pimpinan Pusat PKR pada 23 Mei lalu.

Datuk Rafizi yang tewas jawatan Timbalan Presiden, dan Nik Nazmi bagi jawatan Naib Presiden, meletak jawatan atas alasan tidak lagi mendapat sokongan dan mandat ahli parti untuk terus berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan Madani.

Terdahulu bertebaran di media sosial satu mesej palsu kononnya satu sidang media akan diadakan pada 30 Mei oleh 10 AP PKR yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR.

Selain tertera nama Datuk Rafizi dan Nik Nazmi, turut tersenarai ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Naib Presiden PKR, Encik Chang Lih Kang dan Timbalan Menteri, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir, selaku ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Encik Chang dalam satu kenyataan turut menafikan dakwaan itu yang disifatkan sebagai mengarut dan sengaja dicipta untuk mencetuskan polemik.

“(Datuk) Rafizi dan Nik Nazmi letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi. Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” kata Ahli Parlimen (AP) Tanjung Malim (Perak) itu di Facebook.

Datuk Rafizi dalam kenyataan usai keputusan pemilihan parti sebelum ini juga menegaskan akan terus setia kepada parti walaupun tanpa jawatan tertinggi dan hanya ahli biasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg