Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnwar ikrar perkukuh benteng pertahanan M’sia
Kedudukan pangkalan tentera Filipina yang disokong AS terletak dekat dengan Sabah cetus kebimbangan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikrar memperteguh benteng pertahanan Malaysia.
Ia ekoran wujudnya kebimbangan terhadap pangkalan tentera Filipina yang terletak hanya beberapa kilometer dari Sabah.
Datuk Anwar secara khusus menyebut Pulau Balabac di selatan Palawan, Filipina – pangkalan tentera yang disokong Amerika Syarikat – dan turut menyaksikan negara itu menaik taraf kemudahan strategik, serta membina landasan udara sepanjang tiga kilometer.
Beliau berkata perkembangan keselamatan di selatan Filipina merupakan antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh Malaysia, khususnya mengambil kira kedudukannya yang berhampiran Sabah.
Datuk Anwar berkata Pulau Balabac di selatan Filipina, yang paling hampir dengan Pulau Banggi, di Sabah, dan terletak kira-kira 20 minit perjalanan, telah dibangunkan oleh pemerintah Filipina bersama Amerika sebagai pangkalan ketenteraan yang besar.
“Sebagai negara jiran yang begitu dekat dengan masalah tuntutan ke atas Sabah, tentunya kita sedikit runsing walaupun hubungan dua hala kita dengan Filipina sangat baik,” kata beliau.
Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan Malaysia juga perlu memberikan perhatian terhadap keupayaan pertahanan di Sabah.
Namun, Datuk Anwar berkata Malaysia tidak mempunyai kemampuan untuk membangunkan pangkalan tentera dan pangkalan udara sehebat yang dilakukan di Balabac.
“Tapi sekurang-kurangnya minimum pertahanan harus ditingkatkan,” kata beliau, lapor agensi media Malaysia semasa berucap pada sesi penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Putrajaya.
Datuk Anwar berkata keperluan memperkukuh benteng pertahanan negara perlu diberi perhatian selaras dengan perubahan keadaan keselamatan di rantau ini, termasuk perkembangan yang mempunyai implikasi langsung terhadap Malaysia.
“Rantau ini sekarang bukan lagi rantau biasa. Ia jadi rantau yang berkembang sebagai satu pusat ketegangan antara dua kuasa besar, Amerika dan China,” katanya.
Menurut beliau Malaysia pada masa sama perlu terus mencari jalan untuk menjalin hubungan baik dengan China dan Amerika bagi memastikan kepentingan negara terus terpelihara dalam menghadapi perkembangan geopolitik berkenaan.
Menurut Datuk Anwar, pengukuhan keupayaan pertahanan Malaysia memerlukan tambahan peruntukan yang boleh mencecah ratusan juta ringgit hingga berbilion ringgit.
Ini bagi memastikan Malaysia memiliki aset dan keupayaan mencukupi untuk menghadapi perkembangan keselamatan yang kian kompleks.
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata keperluan itu perlu dilihat dalam konteks perubahan geopolitik serantau yang semakin dipengaruhi ketegangan antara dua kuasa besar dunia itu.
Datuk Anwar berkata perkara berkenaan merupakan antara isu yang perlu dibincangkan secara terbuka ketika Malaysia menilai keperluan keselamatan negara, termasuk dalam memperkukuh pertahanan di Sabah.

