SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Anwar: Petronas beri keutamaan bekalan lebihan bahan api kepada Australia

Anwar: Petronas beri keutamaan bekalan lebihan bahan api kepada Australia

Apr 17, 2026 | 12:18 PM

Anwar: Petronas beri keutamaan bekalan lebihan bahan api kepada Australia

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menerima kehadiran rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese, pada 16 April di Putrajaya.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) menerima kehadiran rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese, pada 16 April di Putrajaya. - Foto FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata syarikat tenaga nasional Petronas, akan mengutamakan lebihan bekalan bahan api untuk Australia.

Persetujuan ini dicapai ketika kedua-dua negara berusaha memperkukuh keselamatan tenaga, susulan gangguan konflik di Timur Tengah.

Datuk Anwar menyatakan jaminan Petronas diperolehi selepas perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Australia, Encik Anthony Albanese.

Perbincangan itu, semasa lawatan kerja Encik Albanese ke Malaysia, turut menyentuh usaha meningkatkan perdagangan pertanian dan bahan api.

Namun, Datuk Anwar menekankan keutamaan tetap memastikan keperluan tenaga domestik mencukupi.

“Keutamaan pastinya memenuhi keperluan domestik serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara, tetapi di sininlah rundingan antara rakan menjadi sangat penting,” kata Datuk Anwar.

Kenyataan ini disampaikan pada sidang media selepas bertemu Encik Albanese di Putrajaya pada 16 April, seperti dilaporkan di laman web The Star.

Datuk Anwar turut berkata Malaysia memerlukan fosfat mineral dari Australia, yang boleh dipertukarkan dengan urea yang dibekalkan kepada Canberra.

Malaysia adalah hentian ketiga Encik Albanese di Asia Tenggara dalam tempoh seminggu, selepas melawat Singapura dan Brunei.

Lawatan ini mencerminkan usaha Canberra memperkukuh bekalan makanan dan tenaga.

Sementara itu, Berita Harian Malaysia melaporkan Datuk Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mendapat jaminan Petronas bahawa bekalan domestik mencukupi.

Sebarang lebihan bekalan akan disalurkan kepada rakan yang dipercayai seperti Australia.

Datuk Anwar menjelaskan Malaysia mengimport gas, termasuk gas asli cecair (LNG), dari Australia.

Australia telah mengulangi komitmennya untuk mematuhi perjanjian bekalan sedia ada.

Sebagai balasan, Malaysia akan memastikan keperluan Australia dipenuhi setelah keperluan domestik diselesaikan.

“Itulah erti persahabatan,” ujar beliau, menyifatkan kerjasama itu sebagai perkongsian seimbang berasaskan kepercayaan dan komitmen bersama.

Datuk Anwar menambah Malaysia mengekalkan hubungan ekonomi yang pelbagai dengan pemain utama global.

Beliau menegaskan Amerika Syarikat kekal sumber terbesar perdagangan dan pelaburan Malaysia.

Ini meskipun Kuala Lumpur terus menjalin hubungan dua hala yang konstruktif dengan negara lain, termasuk Russia.

“Kami sebagai sebuah negara telah menjalin hubungan dengan lebih banyak negara,” katanya.

“Perdagangan dan pelaburan terbesar masih dari Amerika Syarikat, walaupun kami mempunyai hubungan dua hala yang baik dengan Russia serta turut menjalankan perdagangan dengan negara itu,” jelas beliau.

Datuk Anwar menegaskan, dalam persekitaran global yang semakin kompleks, Malaysia perlu mengurus hubungan antarabangsanya dengan berhati-hati.

Tujuannya adalah bagi memastikan kestabilan ekonomi serta melindungi kepentingan negara.

“Keutamaan saya, mandat yang saya pegang, adalah untuk melindungi kepentingan rakyat di negara ini,” katanya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg