Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bah di Johor: Mangsa meningkat sedikit tapi keadaan terkawal

Dec 2, 2024 | 4:44 PM
Banjir di Kampung Awat, Segamat, Johor, menyebabkan rumah tenggelam.
Banjir di Kampung Awat, Segamat, Johor, menyebabkan rumah tenggelam. - Foto JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA JOHOR

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor meningkat sedikit kepada 903 orang membabitkan 254 keluarga, setakat 4 petang pada 2 Disember.

Banjir mula melanda Johor pada 29 November, menjejas Segamat, yang menyaksikan mangsa meningkat kepada 885 orang daripada 249 keluarga dan dipindahkan ke 19 pusat pemindahan sementara (PPS).

Bagaimanapun, keadaan bertambah baik di sebuah lagi daerah yang terjejas, iaitu Tangkak, yang jumlah mangsanya telah berkurangan daripada lebih 300 orang kepada hanya empat daripada tiga keluarga yang masih berada di satu PPS.

Banjir Johor masih terkawal sejauh ini dan tidak seteruk ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa 10 daerah di negeri itu dijangka mengalami banjir dari 26 hingga 29 November.

Namun, Mesyuarat Penyelarasan Kesiapsiagaan Monsun Timur Laut (MTL) 2024 Johor, yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Ismail Abu, pada 1 Disember meningkatkan kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana itu.

Setakat ini, portal publicinfobanjir.gov.my menunjukkan dua sungai di Segamat melepasi paras bahaya, manakala dua sungai di Tangkak melepasi paras amaran. Dua lagi sungai di Batu Pahat melepasi paras waspada.

Berikutan bencana itu, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbang 1,000 kit bantuan bencana bagi pengagihan kepada mangsa banjir di PPS di Johor.

Sementara itu, MetMalaysia pada 2 Disember menjangkakan aliran monsun berlaku dalam tempoh dari 8 hingga 14 Disember.

Keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.

Ini dibimbangi akan menyebabkan banjir di Johor memburuk berikutan jangkaan sebelum ini bahawa paras sungai yang meningkat di Pantai Timur akan melimpah dari Pahang ke Johor.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini merumuskan banjir di seluruh Malaysia ketika ini, khususnya di Kelantan dan Terengganu, amat membimbangkan kerana ia lebih teruk daripada banjir besar pada 2014.

Ketika ini, lebih 82,000 pegawai dan anggota keselamatan dikerahkan bagi membantu mangsa. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg