Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon SPM tetap ambil peperiksaan walau terpaksa meredah banjir

Peperiksaan bertulis SPM bermula 25 Nov; Jumlah mangsa banjir melonjak kepada lebih 20,000 orang di lapan negeri
Nov 25, 2025 | 1:39 PM
banjir, makin teruk, SPM
Calon peperiksaan awam, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hussein di Arau, Perlis, dibawa menaiki lori berikutan keadaan sekolah yang menjadi pusat peperiksaan dilanda banjir. - Foto BERNAMA

Dengan banjir yang semakin memburuk di beberapa negeri di Malaysia, ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meneruskan perjuangan menduduki peperiksaan awam paling penting itu – meskipun ada yang terpaksa meredah banjir dan bergantung kepada pengangkutan lori untuk sampai ke sekolah.

Dalam masa sama, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan pelajar di kawasan terjejas mengikuti sesi pembelajaran dan pengajian secara dalam talian. 

KPM menerusi Ops Payung melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme lengkap untuk memastikan calon SPM tetap dapat menduduki peperiksaan bertulis itu yang bermula 25 November dengan selamat, walaupun terjejas dengan banjir.

Timbalan Menteri Pendidikan, Encik Wong Kah Woh, berkata setakat pagi 25 November jumlah calon SPM yang terlibat banjir ialah 317 orang membabitkan tujuh negeri iaitu Kelantan (72) Pulau Pinang (6), Kedah (24), Terangganu (2), Perlis (45), Perak (167) dan Selangor (1).

Menurut beliau beberapa pusat peperiksaan alternatif telah dibuka di Kelantan dan Kedah untuk calon SPM terjejas banjir menduduki peperiksaan.

Selain itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Encik Abdul Rahim Mat, berkata berikutan banjir yang melanda daerah Kubang Pasu, seramai 93 calon yang terkesan banjir ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, bagi menjamin keselamatan dan memudahkan mereka menduduki peperiksaan.

Ops Payung merangkumi pengangkutan keluar masuk dari pusat peperiksaan sepanjang banjir, pemindahan pusat peperiksaan bagi membolehkan calon menumpang di pusat yang tidak terkesan banjir, penempatan sementara calon yang terkesan banjir di asrama sekolah atau PPS, dan pusat peperiksaan alternatif bagi sekolah yang terkesan banjir.

Untuk rekod, seramai 413,372 calon menduduki SPM pada 2025 di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan; sekolah menengah agama negeri; sekolah swasta berdaftar dengan KPM serta sekolah menengah agama rakyat dan calon persendirian. 

Setakat 10 pagi 25 November, Laporan Bencana Nasional oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaporkan jumlah mangsa banjir terus melonjak kepada lebih 20,000 orang di lapan negeri dan kini berlindung di 120 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kelantan yang paling teruk terjejas terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa lebih 9,000 orang, sementara Selangor pula mencatatkan pertambahan jumlah mangsa sehingga lebih 2,000 orang.

Negeri lain yang menunjukkan trend peningkatan jumlah mangsa ialah Perak; Perlis dan Kedah, sementara negeri lain turut terjejas ialah Pahang, Pulau Pinang dan Sarawak.

Sementara itu, KPT dalam satu kenyataan berkata situasi banjir kali ini bukan saja menjejaskan kawasan bandar dan kediaman, malah turut memberi impak kepada beberapa institusi pendidikan tinggi (IPT) yang dinaiki air.

Justeru sebagai langkah memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan warga IPT, KPT memberikan kelonggaran kepada semua IPT terjejas untuk melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian bagi memastikan kesinambungan pembelajaran pelajar tidak terganggu.

“Pada masa sama, bilik gerakan banjir di IPT yang terlibat turut diaktifkan bagi memudahkan pelajar, kakitangan dan ibu bapa mendapatkan maklumat terkini berkaitan banjir selain penyaluran bantuan segera khususnya makanan, tempat perlindungan sementara dan keperluan asas bagi pelajar serta warga IPT,” kata KPT.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori bahaya di empat negeri iaitu Perlis; Kedah; Kelantan dan Terengganu yang diramalkan berlarutan sehingga 26 November.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg